Projek pembinaan litar langgar hak asasi manusia

LOMBOK, INDONESIA – Pulau percutian Lombok mengalu-alukan ribuan peminat pada Ahad lalu untuk perlumbaan superbike pertama Indonesia di litar baharu yang merupakan sebahagian daripada projek infrastruktur pelancongan mega yang dikecam oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kerana pengusiran keluarga tempatan.

Dengan populasi lebih daripada 270 juta orang, kebanyakannya menggunakan pengangkutan dua roda, Indonesia mempunyai salah satu komuniti peminat perlumbaan motosikal terbesar di dunia. Tetapi kepulauan itu tidak menjadi tuan rumah perlumbaan besar sejak 1997.

Beberapa kampung telah dipindahkan secara sukarela atau secara paksa untuk pembinaan litar baharu Mandalika. Tetapi kira-kira 40 keluarga bersama lembu dan anjing mereka masih bertahan di tengah-tengah trek walaupun terdapat ugutan agar menyerahkan tanah mereka. Pencinta alam sekitar juga mempersoalkan kebijaksanaan menganjurkan acara berskala besar di pulau yang diancam bencana alam itu.

Tontonan superbike di litar 4.3 kilometer pada Ahad lalu adalah permulaan kepada perlumbaan MotoGP, peringkat teratas motosikal Grand Prix yang akan diadakan di pulau itu pada Mac 2022. “Saya di sini untuk menonton World Superbike. Ia sangat menarik dan saya hampir tidak percaya (Indonesia mempunyai litar ini)… Acara itu akan membantu ekonomi di sini,” kata Rini Yuniarti, peminat dari Bali.

Kerajaan berharap dapat mewujudkan beribu-ribu pekerjaan dan menarik sehingga dua juta pelancong asing setahun dengan kompleks litar itu, yang meliputi lebih seribu hektar bersempadan dengan pantai pasir putih.

Tetapi projek baharu itu telah menjadi subjek konflik pahit antara pihak berkuasa dan penduduk tempatan. Berhampiran sebuah kampung di kawasan itu rumah-rumah telah ditinggalkan dan papan tanda logam berbunyi: ‘Tanah ini milik negeri.’

Penduduk tempatan Suyatni (kiri), yang mendakwa memiliki tanah yang digunakan untuk pembangunan Litar Antarabangsa Mandalika, memegang sepanduk ketika mengadakan protes di hadapan litar di Kuta Mandalika, Lombok Tengah. – AFP

Papan tanda di hadapan pondok bertulis ‘tanah ini milik kerajaan’ di kawasasn yang dikelilingi litar perlumbaan Litar Antarabangsa Mandalika. – AFP
Pemandangan dari udara menunjukkan Litar Antarabangsa Mandalika, di mana di dalam litar menunjukkan sebuah perkampungan yang didiami kira-kira 40 keluarga di Kuta Mandalika, Lombok Tengah. – AFP
Orang ramai melihat dari atas bukit untuk menyaksikan perlumbaan motosikal. – AFP

Namun Abdul Latif, 36, dan empat anaknya setakat ini masih bertahan kerana tidak menerima sebarang pampasan untuk meninggalkan kediamannya. “Kehidupan sekarang sukar di sini… Akses sangat terhad,” katanya. “Kami seperti bermain kejar-mengejar dengan anggota keselamatan yang mengawal kawasan itu.”

Seorang lagi penduduk kampung, Abdul Kadir, 54, berkata golongan muda bergelut untuk ke sekolah kerana disekat oleh pihak keselamatan.

“Kami perlu melalui terowong untuk ke sekolah,” kata anak perempuannya yang berusia 10 tahun. “Saya ingin pergi ke sekolah dengan mudah seperti dahulu.”

Lebih memburukkan keadaan, perigi tempatan telah kering selama enam bulan sejak terowong dibina di bawah litar, menyebabkan penduduk tidak mempunyai air.

‘Mereka mengheret saya’

Ramai penduduk kampung kehilangan mata pencarian, di mana petani dirampas tanah mereka dan nelayan dipindahkan dari pantai.

Pasukan keselamatan telah dikerahkan untuk mengeluarkan beberapa keluarga manakala yang lain telah dipaksa menerima pakej pampasan yang tidak seberapa, kata peguam hak asasi manusia Widodo Dwi Putro, yang membela penduduk kampung.

Sibawai, seorang petani berusia 53 tahun, telah kehilangan sebahagian besar tanahnya. Beliau berkata pihak berkuasa cuba mengusirnya beberapa kali sebelum polis datang pada Januari 2021. “Mereka mengerahkan kira-kira 700 anggota hanya untuk merampas tanah saya. Saya cuba menghalang jentolak daripada masuk tetapi mereka mengheret saya,” katanya.

Pakar PBB pada Mac lalu menggesa kerajaan Indonesia dan syarikat yang terlibat dalam projek itu ‘menghormati hak asasi manusia’.

Pelapor khas mengenai hak asasi manusia dan kemiskinan tegar, Olivier De Schutter berkata projek itu telah menyaksikan ‘aduan mengenai rampasan tanah, pengusiran komuniti orang asli dalam kumpulan etnik Sasak dan ugutan serta ancaman terhadap pembela penduduk tempatan’.

Beberapa syarikat antarabangsa yang sebelum ini dikaitkan dengan projek bernilai AS$3 bilion itu menafikan masih menjadi sebahagian daripadanya, termasuk syarikat pembinaan gergasi Vinci dan pengendali percutian Club Med.

Kumpulan Accor mengendalikan Novotel di tapak dan sedang membina sebuah hotel Pullman. Syarikat itu memberitahu AFP ia tidak memiliki tanah atau hotel itu tetapi akan menguruskannya bagi pihak syarikat awam Indonesia, Indonesia Development Tourism Corporation.

Bank Pelaburan Infrastruktur Asia, yang dijangka menyumbang AS$250 juta kepada projek itu, berkata ia telah menjalankan kajian dan tidak mengenal pasti sebarang pelanggaran hak asasi manusia.

‘Hanya permulaan’

Lombok merupakan salah satu daripada 10 lokasi baharu yang ingin dibangunkan oleh pihak berkuasa Indonesia menjadi destinasi pelancongan yang sama seperti Bali.

Pulau yang miskin itu bergelut untuk membina semula sejak gempa bumi besar melanda pada 2018, mengorbankan lebih 500 orang.

Bagi kebanyakan penduduk tempatan, tiket ke perlumbaan motosikal adalah terlalu mahal dan ramai yang terpaksa berpuas hati dengan menonton dari bukit yang menghadap ke litar. Tetapi pihak berkuasa berharap usaha niaga itu akan menarik pelaburan.

Acara Superbike dan Moto GP mewakili “salah satu cara terbaik untuk menarik pelawat dan untuk pelaburan yang besar dibuat di wilayah kita,” kata Zulkieflimansyah, gabenor wilayah Nusa Tenggara Barat, di mana Lombok adalah sebahagian daripadanya.

Ditanya mengenai tuduhan pelanggaran hak asasi manusia, Zulkieflimansyah berkata beliau ‘sangat optimistik’ bahawa pertikaian itu akan diselesaikan dengan kepuasan pelabur dan masyarakat setempat.

Maharani, aktivis alam sekitar di NGO Pusat Penyelidikan Lombok, berkata risiko daripada gempa bumi dan tsunami membimbangkan.

“Tanah runtuh boleh terus melanda dan menutup kawasan litar. Jika berlaku tsunami, litar itu boleh menjadi lubang air,” katanya.

Abdul Latif, tersekat di tengah litar berharap pada rumahnya, tidak mempunyai keinginan untuk menonton perlumbaan. “Saya rasa terbiar dan terasing,” katanya. “Seperti burung dalam sangkar.” – AFP