Projek penempatan semula nelayan Labuan bernilai RM17 juta tahun depan

LABUAN, 1 OKT – Projek penempatan semula nelayan rumah dari perkampungan atas air Kampung Rancha-Rancha bernilai RM17 juta untuk golongan itu yang tidak memiliki rumah, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman.

Beliau berkata projek berkenaan di kawasan seluas lapan hektar dan membabitkan pembinaan sekurang-kurangnya 100 buah rumah akan dilaksanakan tahun hadapan.

“Perbadanan Labuan akan menjadi badan penyelaras dan pelaksana untuk projek di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu,” katanya kepada Bernama.

Fary berkata, nelayan yang tinggal di perkampungan atas air itu, perlu diberikan penempatan baharu kerana penempatan sekarang ini terletak berhampiran zon industri minyak dan gas.

“Usaha penempatan semula sepatutnya telah dilakukan lima tahun yang lepas, ketika beberapa rumah musnah dalam kebakaran,” katanya, sambil menjelaskan kelewatan itu disebabkan masalah teknikal seperti persetujuan tapak cadangan di Kampung Belukut.

Sementara itu, jurucakap LKIM Labuan berkata, 244 nelayan telah berdaftar dengan Jabatan Perikanan dan separuh daripadanya didapati tidak memiliki rumah serta tinggal bersama ahli keluarga. – Bernama