Projek penjimatan air wuduk di Masjidil Haram dilancar

KUALA LUMPUR, 3 SEPT – Kerajaan Arab Saudi (KSA) menerusi Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi melancarkan projek bersepadu yang menyasarkan penjimatan pengaliran air wuduk sehingga 60 peratus di Masjidil Haram, Mekah.

Menerusi perkongsiannya di Twitter kelmarin, jabatan itu menyatakan, kerja-kerja sedang dijalankan untuk melaksanakan projek itu dengan kerjasama beberapa agensi.

Ia juga merupakan sebahagian daripada usaha menyediakan fasiliti dan perkhidmatan terbaik terutama dalam menyantuni jemaah Haji dan Umrah antarabangsa walaupun masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

Selain menjimatkan air wuduk, setakat ini beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan termasuklah pemasangan kamera termometer bagi mengesan suhu badah jemaah yang melalui pintu-pintu masuk ke Masjidil Haram, diikuti pelancaran robot pintar yang direka untuk mengedarkan air Zamzam tanpa melibatkan sebarang sentuhan.

Sementara itu di Masjid Nabawi, Madinah, Jabatan itu memaklumkan permaidani mewah yang menutupi lantai ruangan Raudah turut ditambahbaik dengan pemasangan mikrocip (RFID) pada setiap helai.

Implementasi teknologi RFID berkenaan membantu daripada segi pemantauan data pembuatan, penggunaan, lokasi dan waktu pencucian setiap helai permaidani.

Ketua Pengarah Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Abdulrahman Al-Sudais pada Selasa (31 Ogos) dilaporkan berkata, sangat penting menggunakan teknologi terkini bagi keselamatan jemaah terutamanya ketika musim pandemik COVID-19.

Menurut laporan, setakat ini beberapa peranti dan teknologi moden telah diaplikasi untuk menjalankan fungsi pembersihan dan pensterilan di Masjidil Haram, antaranya 11 unit robot pintar kecerdasan buatan (AI) dan 40 unit alat pensterilan wap kering dan basah. – Bernama