Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Seramai 25 orang kanak-kanak yang merupakan klien Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), kelmarin, telah menyertai projek perkhemahan belia Nature Camp 2024 sempena Hari Bertindak Negara Brunei Darussalam yang diadakan di tapak perkhemahan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) di Beribi sehingga esok.
Projek berkenaan telah dijayakan bersama oleh Youth Wing, MKM, jawatankuasa penyelaras projek, ahli-ahli PPNBD dan sukarelawan, diharapkan dapat membekalkan peserta perkhemahan dengan pengalaman dan pengetahuan yang dapat membolehkan mereka menghadapi cabaran masa depan dan menjadi belia yang bersedia untuk masa depan.
Presiden MKM, Awang Yusof Halim, menekankan hal itu dalam ucapannya semasa pelancaran projek perkhemahan tersebut.
Beliau turut mengongsikan, peserta perkhemahan akan didedahkan kepada pelbagai program sepanjang perkhemahan selama tiga hari, termasuk aktiviti keagamaan, pertolongan cemas, kesedaran mengenai kesihatan mental, program literasi digital dan aktiviti kecergasan dalam persekitaran yang mencabar untuk memupuk semangat kerja berpasukan, disiplin dan kepimpinan.
Program berkenaan adalah bagi mendukung objektif Kempen Hari Bertindak dengan sebagai wadah bagi mengumpulkan masyarakat ke arah memupuk semangat kesukarelawan.
Perkhemahan itu turut melibatkan 43 sukarelawan daripada PPNBD, serta penuntut Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmopolitan.
Sukarelawan diberi pengalaman yang praktikal tentang konsep kesukarelawan dalam aktiviti yang akan dijalankan sekali gus memperkukuhkan budaya perpaduan dalam masyarakat dalam menjalankan kerja yang bermanfaat.
Turut hadir bersama President MKN pada acara itu ialah Pesuruhjaya Ketua Pengakap, Skip Haji Junaidi bin Haji Hussin.