Thursday, February 13, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek Piala Dunia 2022 Qatar tidak terjejas

    DOHA, 18 Julai – Stadium bola sepak kedua yang dibina bagi Piala Dunia 2022 di Qatar dijangka siap tepat pada masanya tahun depan meskipun sekatan yang dikenakan oleh jiran-jiran Teluk, umum seorang pegawai semalam.

    Stadium Al-Warkah dengan 40,000 tempat duduk, direka dengan bentuk bot oleh arkitek pemenang anugerah, Zaha Hadid, akan siap selepas Stadium Khalifa, yang siap pada bulan Mei.

    “Projek ini menepati jadual dan Stadium Al-Warkah akan siap tepat pada masanya hujung tahun depan,” kata pengurus projek, Thani Khalifa Al-Zarah.

    Pada 5 Jun, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir telah mengenakan sekatan ke atas Qatar atas pertuduhan menyokong kumpulan pelampau dan berkawan rapat dengan musuh ketat mereka, Iran.

    Sekatan itu termasuk menyekat satu-satunya laluan sempadan Qatar dengan Arab Saudi, mengekang Doha daripada sebarang import melalui laluan darat, termasuk bahan-bahan binaan.

    Lebih daripada 50 peratus kerja konkrit stadium itu telah selesai, sementara bahan-bahan keluli bagi struktur bumbung sudah dihantar, menurut Zarah, menegaskan bahawa sekatan sempadan tidak menjejaskan projek dan pihak kontraktor adalah pihak yang bertanggungjawab mendapatkan bekalan.

    “Ketika ini mereka mencari alternatif dan saya tidak fikir dari perspektif seorang klien bahawa ia satu kebimbangan,” katanya, menambah bahawa sekatan telah ‘membuka pasaran baru buat negara dan kontraktor untuk jelajahi.”

    Para penganjur Piala Dunia itu telah menyatakan bahawa persiapan berjalan seperti biasa meskipun dilanda krisis itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda