Wednesday, December 7, 2022
24.6 C
Brunei

-

Projek pokok bakau bantu lindungi alam sekitar

HAMATA, MESIR – Di pantai Laut Merah, Mesir, ikan-ikan berenang di celah-celah ribuan pokok bakau yang baru ditanam, sebahagian daripada program untuk merangsang biodiversiti, melindungi pinggir laut serta memerangi perubahan iklim dan kesannya.

Selepas pemusnahan berdekad-dekad lamanya yang menyaksikan pokok bakau dibersihkan, apa yang tinggal hanyalah kawasan berpecah-pecah berjumlah kira-kira 500 hektar, saiz sebesar beberapa ratus padang bola sepak.

Sayed Khalifa, ketua sindiket pertanian Mesir yang menerajui usaha penanaman semula pokok bakau, menggelar tumbuhan unik tersebut ‘satu khazanah bernilai’ disebabkan keupayaan mereka membesar dalam air masin di mana pokok berkenaan tidak menghadapi sebarang masalah kemarau.

“Ia merupakan keseluruhan ekosistem,” kata Khalifa, ketika berdiri dalam air pada paras lutut. “Apabila awda menanam pokok bakau, hidupan laut, haiwan krustasia dan burung semuanya akan mengerumuni kawasan itu.”

Di antara akar anak pokok berusia beberapa bulan yang kelihatan seakan-akan tentakel, ikan kecil dan ketam larvae meluru-luru di celah-celah paya cetek – menjadikan pokok-pokok berkenaan tapak semaian utama untuk kehidupan laut.

Pemandangan hutan pokok bakau di tapak projek penanaman semula pokok bakau di kawasan Hamata, selatan Marsa Alam di pantai Laut Merah. – AFP
Sayed Khalifa menunjukkan tapak semaian anak benih bakau di kawasan Hamata. – AFP
Pekerja menanam semula pokok bakau di kawasan Hamata, selatan Marsa Alam di pantai Laut Merah. – AFP

Pekerja Khalifa telah menanam puluhan ribu anak benih di sebuah tapak semaian, yang seterusnya digunakan untuk memulihara enam kawasan utama di Laut Merah dan pantai Sinai, bertujuan menanam semula pokok bakau di kawasan seluas 210 hektar.

Namun Khalifa berhasrat untuk memperluas paya pokok bakau seberapa besar mungkin, sehingga menjangkau marina perahu layar yang terletak kira-kira enam kilometer ke selatan.

Program sokongan kerajaan bernilai AS$50,000 setahun itu dilancarkan lima tahun lalu.

Pokok bakau juga memberikan kesan yang menakjubkan dalam memerangi perubahan iklim.

Pokok-pokok lasak itu mampu menampung berat sebenar dan menyerap lima kali lebih banyak karbon berbanding hutan di darat, menurut Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP).

Kelompok pokok bakau juga membantu menapis pencemaran air dan bertindak sebagai sekatan semula jadi terhadap arus pasang laut dan cuaca melampau, melindungi komuniti pantai daripada ribut kuat.

UNEP berkata melindungi pokok bakau adalah 1,000 kali lebih murah daripada membina tembok laut dengan jarak yang sama.

Meskipun nilai yang berharga, pokok-pokok bakau telah dihapus di seluruh dunia pada kadar amat pesat.

Lebih satu pertiga daripada pokok bakau di seluruh dunia telah hilang, menurut para penyelidik, dengan kehilangan 80 peratus di beberapa pinggir pantai Lautan India.

Pakar pokok bakau Niko Howai, dari Universiti Reading di Britain, berkata banyak kerajaan sebelum ini tidak menghargai ‘kepentingan pokok bakau’, sebaliknya mengintai peluang untuk memperoleh pendapatan menguntungkan termasuk menerusi pembangunan pantai.

Dalam kes Mesir, ‘aktiviti pelancongan besar-besaran dan tempat peranginan, yang mengakibatkan pencemaran’, serta aktiviti bot dan kegiatan mencari gali minyak mencetuskan kemusnahan pokok bakau, menurut Kamal Shaltout, profesor botani di Universiti Tanta di Mesir.

Shaltout memberikan amaran bahawa usaha pemulihan pokok bakau ‘akan menjadi sia-sia’ sekiranya ancaman tidak diatasi segera.

“Masalah yang dihadapi adalah pokok-pokok bakau yang kami tanam adalah amat terhad dalam jumlah sehinggakan sebarang kerosakan akan membawa kepada gangguan besar,” kata beliau.

Tidak banyak maklumat sahih yang boleh diperoleh untuk menunjukkan jumlah keluasan yang telah hilang, namun Shaltout berkata ‘terdapat kawasan yang telah musnah kesemuanya,’ terutama di sekitar bandar peranginan utama Hurghada.

Pelancongan Laut Merah menyumbang kepada 65 peratus daripada industri pelancongan Mesir.

Skala kemusnahan, yang dicatat dalam kajian yang dijalankan oleh Shaltout dan penyelidik lain pada 2018, ‘mungkin jauh melebihi apa yang dapat diganti oleh mana-mana program penanaman semula untuk tahun-tahun akan datang.’

Usaha untuk menghubungkan kawasan yang ditanam semula dengan pokok bakau berpotensi disekat oleh marina, tempat peranginan dan petempatan pantai.

“Pokok bakau adalah lasak dan kuat, tetapi ia juga sensitif, terutamanya anak benih,” jelas Howai.

“Mencampur aduk penanaman pokok bakau dengan projek pembangunan sekarang adalah tidak mustahil, tetapi ia akan menjadi lebih mencabar.”

Untuk berjaya, Shaltout berkata operator pelancongan mesti terlibat, termasuk meminta tuan punyai tempat peranginan menanam semula kawasan mereka.

“Ia mungkin datang bersama faedah cukai tertentu, dan memberitahu mereka bahawa selepas memperoleh keuntungan, mereka juga harus memainkan peranan dalam melindungi alam sekitar,” kata ahli botani itu. – AFP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Penghormatan buat Jiang Zemin

BEIJING, 6 DIS – Siren kedengaran di seluruh China hari ini ketika Parti Komunis mengadakan perkabungan bekas pemimpin, Jiang Zemin, memberi penghormatan kepadanya sebagai...
- Advertisment -