Projek Reben Kuning beri perubahan besar

Oleh Nursyabiha Sukri

KUALA LUMPUR – Kehidupan bekas banduan dan belia bermasalah sering dipandang serong oleh masyarakat, yang dilihat sukar untuk menerima mereka kembali.

Hakikatnya setelah menjalani hukuman atas kesalahan mereka, ramai yang telah insaf dan wajar diberi peluang kedua termasuk untuk berbakti kepada masyarakat.

Itulah yang dilalui bekas penghuni institusi pemulihan juvana Sekolah Henry Gurney, Emam Safekri Ahmad Ghasi, 23, dalam berhadapan dengan keperitan hidup pada zaman remajanya yang mengajarnya erti kehidupan sebenar.

Bagaimanapun, Emam Safekri yang berasal dari Selangor bertuah kerana dipilih menyertai Projek Reben Kuning #peluangkedua kendalian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memberikan pemuda itu peluang untuk mengubah kehidupannya dan kembali dalam masyarakat.

“Saya seorang bekas penghuni Sekolah Henry Gurney. Saya telah tercicir daripada sekolah pada usia 14 tahun dan mengambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) di sekolah itu.

Emam Safekri Ahmad Ghasi merupakan bekas penghuni institusi pemulihan juvana Sekolah Henry Gurney bertuah kerana dipilih menyertai Projek Reben Kuning #peluangkedua KBS yang memberikan beliau mengubah kehidupannya dan kembali dalam masyarakat. – Bernama

“Pada awal pembebasan (pada Februari 2014) saya terfikir tidak mungkin akan diterima kembali dalam masyarakat disebabkan oleh kesalahan yang telah saya lakukan dan sisi gelap perjalanan hidup saya. Namun dengan projek ini, nasib saya dan beberapa rakan lain terbela,” katanya kepada Bernama.

Menceritakan hari pertama melapor diri di KBS pada 20 Feb lalu, bekas pesalah juvana itu tidak menafikan ada perasaan gugup namun sokongan dan layanan staf di kementerian itu menambah keyakinannya untuk lebih berusaha memperbaiki kehidupan.

Jelasnya, penerimaan dan layanan ditunjukkan oleh staf KBS yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun sangat baik dan tidak membezakan dirinya yang merupakan bekas penghuni sekolah pemulihan juvana dengan pekerja yang lain.

Emam Safekri berkata biarpun beliau pernah mengecewakan keluarga dengan kesilapan silam namun ibu bapanya adalah insan penting yang tidak pernah berputus asa memberikan semangat kepada dirinya untuk berubah.

“Ibu bapa dan guru adalah insan yang setia bersama saya. Mereka selalu memberikan semangat untuk berjaya dan tidak jemu membantu saya ketika saya jatuh,” kata Emam Safekri yang memperoleh keputusan SPM 8A 1B pada 2013.

Keputusan cemerlang itu melayakkan beliau melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dan memperoleh diploma pada 2016.

Emam Safekri menasihatkan mereka yang mempunyai nasib yang sama seperti beliau supaya tidak mengalah untuk terus berubah, dan masyarakat pula memberikan mereka peluang kedua untuk berubah.

“Sekiranya masyarakat tidak memberikan peluang kedua kepada golongan seperti ini untuk berubah siapa lagi yang akan membimbing mereka,” katanya.

Dalam pada itu Emam Safekri menyifatkan Syawal kali ini lebih bermakna kerana beliau dapat meraikan bersama rakan-rakan yang telah banyak menabur bakti dalam memberikan inspirasi dan semangat kepadanya untuk menjadi insan yang lebih positif.

“Selain itu, tahun ini saya beraya sebagai seorang ayah. Saya baru dikurniakan seorang anak lelaki. Kehadirannya dalam hidup saya mengubati kerinduan saya kepada arwah bapa saya,” katanya.

Projek Reben Kuning adalah inisiatif baharu KBS bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam memainkan peranan serta menggerakkan kempen kesedaran bagi memberi peluang kedua kepada bekas banduan serta menghapuskan stigma masyarakat terhadap banduan yang dikategorikan dalam golongan belia.

Terdapat lima kluster utama di bawah Projek Reben Kuning iaitu Kluster Keusahawanan, Kluster Kemahiran, Kluster Sukan, Kluster Kebolehpasaran dan Kluster Kempen Kesedaran. – Bernama