Projek riadah mantapkan keyakinan diri

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JAN – Kira-kira 70 orang alumni Mahad Islam Brunei pengambilan 1991 (Sahabat MIB91) telah menyertai Projek Riadah Sahabat MIB91 yang diadakan di Tapak Perkhemahan, Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas, kelmarin, bagi memperingati 30 tahun kemasukan mereka ke institusi pengajian berkenaan.

Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan seterusnya bacaan Doa Selamat serta tahlil dan Doa Arwah khusus kepada guru-guru dan pelajar-pelajar Mahad Islam Brunei yang telah kembali ke rahmatullah.

Seterusnya, acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi sebelum senaman pagi serta beberapa aktiviti yang menjurus kepada pembinaan jati diri dan sahsiah.

Antara matlamat projek bertemakan ‘Sahabat MIB91, Sepakat Mengharap Berkat’ itu adalah bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan Sahabat MIB91 dan menambah serta memantapkan keyakinan diri untuk cenderung kepada pemikiran positif dan berintegriti serta bersama dalam memelihara talian permuafakatan dalam kalangan rakan-rakan.

Selain itu, ia juga untuk memupuk dan menyemai amalan saling bantu membantu antara satu dengan yang lain, membangun-kan persefahaman antara Sahabat MIB91.

Di samping itu, ia juga dapat membina pasukan yang bersatu padu agar Sahabat MIB91 sentiasa bekerjasama dalam keadaan baik dan menggalakkan amalan menjaga serta mengekalkan kesihatan fizikal dan mental.

Projek tersebut turut mengungkayahkan buku khas dan baju kemeja-T khusus bagi memperingati 30 tahun persahabatan alumni.

Gambar ramai alumni Mahad Islam Brunei pengambilan 1991 yang menyertai Projek Riadah di Tapak Perkhemahan, Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas. – Gambar serahan Sahabat MIB91