Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 14 Feb – Syarikat Asia Enterprise terus mengorak langkah dalam mengembangkan sektor pertanian menerusi Projek Perintis Ladang Buah-buahan di kawasan luar bandar Merangking Ulu Labi, di sini, yang akan dilaksanakan dalam sedikit masa lagi.
Presiden syarikat itu, Chai Yum Fatt, semasa ditemui Media Permata hari ini, menjelaskan bahawa pihaknya telah mendapat sokongan daripada Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan bagi memperuntukkan tanah seluas 20 hektar di kawasan berkenaan sebagai tapak projek itu.
Antara buah-buahan yang akan ditanam di ladang projek perintis itu nanti termasuklah rambutan, manggis, mangga, langsat, petai, durian, tembikai, longan, nangka, limau, betik, pisang, avokado, sukun, jagung dan sebagainya.
Katanya, projek perintis itu dijangka merupakan satu-satunya ladang di negara ini yang menumpukan sepenuhnya penghasilan buah-buahan tropika dan tempatan dengan kesemua penghasilannya nanti akan dilabel sebagai ‘ditanam di dalam negara’.
Ia dihasratkan untuk mendidik masyarakat tempatan untuk menggemari pengambilan buah-buahan tempatan yang bukan hanya segar dan bersih tetapi juga lebih mampan.

“Saya bagi pihak syarikat, merakamkan penghargaan kepada KSSUP yang telah memberikan peluang untuk kami melaksanakan projek pilot ini dan kami akan memajukan seperti yang telah dirancang.”
Beliau turut memberitahu bahawa upacara perasmian tanah akan diadakan pada 24 Februari yang bakal disempurnakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara Daerah Belait, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin.
Melalui perlaksanaan ladang itu nanti, syarikat berkenaan akan mengeluarkan buah-buahan tidak bermusim dengan menggunakan teknologi tinggi serta menumpukan pengeluaran untuk pasaran eksport.
Selain itu, 50 hingga 70 peratus peluang pekerjaan akan diberikan kepada anak-anak tempatan apabila ia beroperasi sepenuhnya nanti dan syarikat juga akan membuat penyediaan infrastruktur sepenuhnya serta turut melaksanakan kerja-kerja kajian kesan alam sekitar dan sebagainya.
“Syarikat kami mempunyai misi dan hasrat untuk menyumbang ke arah pembangunan aktiviti ekonomi luar bandar dan akan berusaha untuk meningkatkan pendapatan dan standard kehidupan masyarakat di luar bandar.
“Dengan adanya perancangan yang terarah dan pengawasan yang ketat, kami juga merancang untuk turut menjadikan Ladang Buah Merangking itu nanti sebagai tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara, sebagai turut menyokong pembangunan dalam mempelbagaikan industri pelancongan di negara ini,” tambahnya.
Beliau juga menyatakan, memandangkan ladang itu terletak di kawasan terpencil, pihak syarikat juga akan berusaha memberikan pengalaman berada di kawasan luar bandar yang menarik kepada pengunjung-pengunjungnya terutama para pelancong dalam dan luar negara.
Mereka juga berharap projek itu nanti akan dapat menarik minat pelabur untuk sama-sama membangunkan kawasan luar bandar kepada destinasi yang sangat menarik di negara ini.
“Syarikat kami juga akan memberikan peluang kepada pekerja-pekerja tempatan dan turut mengutamakan kalangan penduduk di Labi yang mempunyai latar belakang kemahiran dalam pertanian dan akan juga memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan lainnya terutama di kalangan belia-belia yang masih belum mempunyai pekerjaan bagi kerja-kerja yang bersesuaian.
“Dalam usaha untuk memperkembangkan ekonomi negara dan untuk mengurangkan kebergantungan dengan industri minyak dan gas, kami percaya bahawa kemajuan dalam sektor pertanian memainkan peranan penting dalam proses memperkukuhkan pembangunan ekonomi kita,” tambah beliau lagi.
Antara objektif projek ladang tersebut termasuklah untuk mengeksport buah-buahan tempatan yang berkualiti tinggi dan untuk memberikan pengeluaran yang cukup bagi pasaran dalam negara serta mengurangkan import buah-buahan.
Selain itu, ia juga dihasratkan akan menarik minat kalangan masyarakat dalam industri pertanian dengan mengajak mereka mengalami keseronokan memetik buah-buahan dan sebagainya.
Ladang Buah Merangking akan dibangunkan dan dikendalikan secara persendirian oleh Syarikat Asia Enterprise yang mempunyai pengalaman hampir 20 tahun dalam industri pertanian di negara ini. Syarikat tersebut telah ditubuhkan pada tahun 1997 oleh Pengasasnya, Chai Yum Fatt yang selama ini juga komited dan konsisten membekalkan benih bagi tanaman berkualiti tinggi selain sebagai pembekal peralatan pertanian, baja dan sebagainya juga melaksanakan kajian bagi terus mempertingkatkan pertanian dalam syarikat mereka.
Pada masa ini, syarikat tersebut mempunyai kira-kira 40 orang pekerja dan di bawah Syarikat Asia Enterprise Research mereka juga menggunakan seluas tiga ekar tanah untuk membangunkan lebih 30 jenis buah-buahan dan setakat ini mempunyai lebih 200 pokok buah yang sihat bagi membuktikan bahawa buah-buahan yang berpotensi tinggi boleh tumbuh segar di negara ini.
Perkembangan terkini, Syarikat Asia Enterprise juga telah menubuhkan AE Asia Agrimart Bhd Bhd di Bengkurong yang merupakan sebuah pasar sehenti yang menjual berbagai-bagai benih tanaman berkualiti tinggi di samping baja dan sebagainya.