Projek rintis penternakan bantu penduduk jana pendapatan sendiri

HARARE – Peter Chivhumbura secara umumnya memelihara ayam secara terbuka di kampung halamannya di Zimbabwe untuk keperluan domestik dan tidak pernah menganggap nilai komersial haiwan berkenaan.

Semua itu berubah ketika dia terpilih untuk menjadi sebahagian daripada program rintis penternakan ayam dan arnab yang dibiayai oleh kerajaan China di tahun lalu.

Program tersebut, yang dilaksana-kan di Kampung Percubaan Kerjasama Pertanian China-Zimbabwe di Ward 28, Daerah Zvimba di wilayah barat Mashonaland, disokong dan dibiayai oleh kerajaan China melalui China Aid. Ward 28 mempunyai kira-kira 2,000 buah keluarga yang bergantung kepada pertanian sara hidup.

“Program ini banyak membantu kami.

“Pertama sekali, ini membuka mata kami, sebelum ini kami tidak menyedari terlibat dalam penternakan ayam mampu menjana pendapatan,” kata Chivhumbura.

Kira-kira 26 buah keluarga mendapat manfaat daripada program rintis itu, dengan 14 daripadanya terlibat dalam penternakan ayam manakala 12 lagi menumpukan pada pembiakan arnab. Setiap anggota projek penternakan ayam diberi 20 ekor ayam betina dan dua ekor ayam jantan, sementara yang lain dalam projek pembiakan arnab diberi 10 ekor arnab betina dan dua ekor arnab jantan, semuanya dibiayai dan dibeli oleh kerajaan China.

Andrew Chirenda, ketua masyarakat dan ahli majlis Ward 28, memberi makan ayamnya di Zvimba, wilayah barat Mashonaland, Zimbabwe. – Xinhua
Seorang pekerja mengusahakan inkubator di Zvimba, wilayah Mashonaland Barat, Zimbabwe. – Xinhua
Peter Chivhumbura merupakan salah seorang penerima manfaat dari program perintis program penternakan ayam dan arnab yang dibiayai oleh kerajaan China. – Xinhua
Kelihatan seorang wanita memasukkan anak-anak ayam ke dalam kotak. – Xinhua

Melalui program rintis tersebut, 10 orang pakar pertanian Cina ditugaskan untuk memberikan bantuan teknikal kepada penduduk desa, sementara pusat penetasan ayam dengan kapasiti 6,000 telur juga didirikan untuk memberikan sokongan teknikal.

Sebelum ini, idea untuk menjana pendapatan daripada menternak ayam tidak pernah terlintas di fikiran Chivhumbura. Sejak dia memulakan projek menternak ayam, kehidupannya telah berubah, kata Chivhumbura. Setelah menjual stok 600 ekor ayam pertama, Chivhumbura memutuskan untuk menghabiskan kesemuan pendapatannya sebanyak AS$2,500 untuk meneruskan perniagaan penternakan.

“Program ini banyak membantu, ia menjadikan hidup kami lebih mudah, sebelum saya menjual 100 ekor ayam, lapan ekor dalam proses inkubasi, jadi saya menjangkakan 100 ekor anak ayam dan pada penghujung tahun ini saya dijangka mempunyai 600 ekor ayam,” kata Chivhumbura.

Chivhumbura mula mengongsikan pengetahuan yang dipelajarinya daripada pakar pertanian Cina dan penduduk kampung yang lain.

“Buat masa ini ramai yang datang untuk belajar tentang penternakan ayam semasa program perkongsian. Jadi saya berharap dapat memberi 20 ekor ayam betina dan dua ekor ayam jantan kepada petani lain agar dalam masa tiga tahun seluruh kampung dapat menternak ayam,” katanya.

Andrew Chirenda, ketua masyarakat dan ahli majlis Ward 28, mengatakan tujuan program perintis adalah untuk memastikan seluruh komuniti mendapat manfaat.

“Ini adalah projek perkongsian dan 26 petani yang mendapat manfaat daripada projek ini juga akan diteruskan kepada 26 petani berikutnya, jadi mungkin dalam dua hingga tiga tahun akan datang, hampir semua penduduk akan mendapat manfaat,” kata Chirenda.

“Sumber pendapatan mereka adalah pertanian, yang hanya akan dilakukan ketika hujan turun, namun kini mereka mempunyai wang lebih untuk sepanjang tahun.”

Ketua masyarakat melahirkan penghargaan kepada para pakar dari China atas bantuan teknikal mereka. “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada China Aid atas program ini. Ini akan memberi kesan terutama kepada komuniti ini dalam mengurangkan kemiskinan dan saya ingin sekali mengucapkan terima kasih kepada kerajaan China dan pakar-pakar China Aid yang bekerjasama dengan kami.”

Teckla Manhando, seorang lagi yang menerima manfaat daripada program rintis tersebut, berjaya menjual 500 ekor ayam pada tahun ini dan memperoleh keuntungan sebanyak AS$2,000, berkata terdapat permintaan tinggi untuk ayam diternak secara terbuka.

“Kami berharap dapat menemukan pasaran yang besar kerana mendapat permintaan yang tinggi, jadi kami harus meluaskan pasaran. China Aid berjanji sekiranya kami mempunyai bekalan besar, kami dapat menghubungi mereka dan mereka dapat membantu kami untuk mengeksport ayam ke China,” katanya.

Ayam diternak secara terbuka, yang dikenali sebagai roadrunner, semakin mendapat tumpuan di kalangan masyarakat Zimbabwe kerana ia menawarkan pilihan organik yang lebih sihat.

“Roadrunner bebas bahan kimia, ia makan makanan semula jadi. Kami disarankan untuk makan makanan organik kerana makanan yang diubahsuai secara genetik tidak sihat. China Aid mengajar kami penternakan ayam secara terbuka mampu mencari makanan sendiri meskipun kami tidak memberikannya makanan, ia mampu hidup dengan memakan rumput, semut, anai-anai dan semuanya secara semula jadi,” kata Manhando

Manhando percaya ayam yang diternak secara terbuka mengambil masa yang lebih lama untuk membesar berbanding daripada ayam pedaging, modal awal yang diperlukan adalah rendah dan ayam itu lebih murah untuk dijaga berikutan ia membesar dengan makanan semula jadi, menjadikannya sesuai untuk penduduk kampung dengan sumber daya yang terbatas.

Sebagai tambahan kepada Kampung Demonstrasi Kerjasama Pertanian China-Zimbabwe, salah satu daripada beberapa inisiatif yang dilakukan oleh China untuk membolehkan petani Zimbabwe, lebih daripada 3,000 pelajar dan petani Zimbabwe telah mendapat manfaat dari Pusat Demonstrasi Teknologi Pertanian China-Aid berdekatan Harare, ibu kota Zimbabwe, melalui pertukaran kemahiran teknikal. – Xinhua