Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Projek rintis titih sasar peningkatan padi negara

    Oleh Yusrin Junaidi

    Seramai tiga orang peladang padi yang menyertai Projek Rintis Penanaman Padi Titih telah menerima semaian padi Titih pada majlis penyerahan yang berlangsung di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Wasan, baru-baru ini.

    “Para pengusaha dipilih berdasarkan prestasi serta ketersediaan bekalan air di ladang mereka,” jelas Ahli Pembiakan Tumbuhan Kanan, Dayang Khairunnisa binti Haji Omar Ali, ketika ditemu bual oleh Media Permata.

    “Penyerahan padi berkenaan adalah usaha awal atau permulaan penanaman padi Titih di ladang pengusaha. Memandangkan jumlah benih Titih masih lagi terhad pada musim ini, ianya hanya melibatkan tiga orang pengusaha dengan keluasan keseluruhan sebanyak 0.7 hektar,” tambahnya.

    Di samping projek rintis penanaman padi hibrid Titih pada musim ini, usaha-usaha bagi menggandakan benih induk dan seterusnya menambah lagi pengeluaran benih Titih masih lagi giat dilaksanakan. Antara usaha yang sedang dan telah dilaksanakan adalah bagi mendapatkan tenaga pakar pembiakan baka padi hibrid.

    Menurut Dayang Khairunnisa lagi, daripada usaha penyelidikan yang telah dilaksanakan sebelum ini didapati padi hibrid Titih mampu mengeluarkan sehingga lapan tan metrik padi sehektar berbanding Sembada188 yang secara purata hanya dapat mengeluarkan lima hingga enam tan metrik padi sehektar.

    Penanaman padi menggunakan varieti padi berhasil tinggi adalah merupakan antara strategi utama Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan untuk meningkatkan keluaran padi negara melalui peningkatan produktiviti iaitu keluaran hasil padi dari setiap hektar yang diusahakan, sejajar dengan visi kementerian. Dengan peningkatan produktiviti ini, ia akan meningkatkan keluaran padi negara, meningkatkan tahap sara diri pengeluaran beras negara dan meningkatkan keuntungan peladang.

    Pada ketika ini, pihak Jabatan Pertanian dan Agrimakanan bersama dengan Syarikat BINA LNS Sdn. Bhd., sebuah syarikat tempatan masih lagi berusaha untuk mengeluarkan benih padi Titih dengan kuantiti yang banyak untuk dibekalkan kepada pengusaha-pengusaha padi tempatan.

    Usaha-usaha untuk mengeluarkan benih padi Titih dalam negara telah pun bermula pada tahun 2019, namun terdapat beberapa cabaran yang dihadapi yang menyebabkan benih Titih belum dapat dibekalkan.

    Antaranya ialah kekurangan tenaga pakar teknologi padi hibrid, tempoh masa yang diperlukan bagi menggandakan jumlah induk daripada kuantiti yang sangat terhad, cuaca yang tidak menentu terutama sekali semasa peringkat pendebungaan hinggalah peringkat menuai yang menyebabkan padi tidak berisi dan faktor tanah masam yang menjejaskan pertumbuhan padi.

    Terdapat beberapa usaha telah dilakukan bagi pengeluaran biji padi hibrid Titih di negara ini termasuk penawaran tapak projek rintis seluas lima hektar di KKP Batong bagi penghasilan biji benih padi hibrid secara berterusan. Dengan adanya pengeluaran biji benih hibrid Titih ini nanti, ia akan dibekalkan kepada peladang secara berperingkat-peringkat.

    Selain daripada Sembada188 dan Titih, pihak jabatan juga terus melaksanakan projek-projek penyelidikan melalui kerjasama dengan institusi penyelidikan serantau dan antarabangsa yang bertujuan untuk mengenal pasti lebih banyak varieti padi berhasil tinggi yang mampu mengeluarkan hasil melebihi lapan tan metrik sehektar semusim.

    Ini termasuk kerjasama dengan International Rice Research Institute di bawah inisiatif ASEAN sejak Oktober 2020 dan akan berjalan selama lima tahun dan projek kerjasama dengan Yuan Longping High-Tech Agriculture Co. Ltd. dari Republik Rakyat China bermula Oktober 2021 lalu.

    KSSUP melalui jabatan yang terlibat berharap dengan adanya sokongan seperti ini, para pengusaha akan dapat terus memberikan yang terbaik untuk menjana kemajuan negara dan ekonomi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...