BAODING, CHINA – Dibelasah, diusir dari tanah mereka, tertipu wang malah dipenjara tanpa sebab – petani di China berkata mereka menanggung pengorbanan besar ketika pihak berkuasa bergegas untuk menunaikan janji untuk mempertingkat pengeluaran tenaga hijau negara.
China telah berjanji Olimpik Musim Sejuk 2022 akan menjadi sukan pertama yang dikendali sepenuhnya menggunakan tenaga angin dan solar, dan telah membina puluhan fasiliti untuk menambah kapasiti – tetapi aktiviti mengingatkan penduduk biasa sedang dieksploitasi oleh ‘rampasan tanah’ dalam proses itu.
Di sebuah perkampungan desa berhampiran Beijing, keluarga Long, yang berkata mereka telah kehilangan lebih separuh daripada tanah pertanian mereka kepada ladang solar bersebelahan – kini tidak mempunyai pendapatan sehingga mereka membakar kulit jagung dan beg plastik untuk memanaskan badan pada musim sejuk.
“Kami diberitahu akan diberikan 1,000 yuan untuk setiap bidang tanah setiap tahun apabila syarikat tenaga menyewa tanah selama 25 tahun,” kata petani Long dari kampung Huangjiao.
“Kami boleh memperoleh lebih dua kali ganda jumlah tersebut dengan menanam jagung di kawasan yang sama. Kini tanpa tanah, saya menokok pendapatan dengan bekerja sebagai buruh.”
China ialah pengeluar turbin angin dan panel solar terbesar dunia, dan Olimpik Musim Sejuk dilihat sebagai satu peluang untuk memaparkan teknologi hijau negara ketika mereka berusaha menjadi pasaran global.
Untuk memastikan bekalan tenaga secara berterusan untuk Olimpik – dan mengatasi asbut musim sejuk yang menyelubungi ibu negara China – wilayah Hebei telah membina kilang gergasi untuk mengambil tenaga daripada projek tenaga diperbaharui di wilayah itu.
Kilang itu membekalkan 14 bilion kilowat jam elektrik bersih setiap tahun, bersamaan dengan penggunaan tenaga tahunan negara Slovenia.
Namun bagi petani seperti Long dan jirannya Pi, perkembangan pesat tenaga hijau telah menjadikan kehidupan mereka lebih sukar dan berisiko.
Pi berkata penduduk kampung dipaksa menandatangani kontrak – dilihat oleh AFP – menyewa tanah mereka untuk pembinaan taman solar oleh State Power Investment Group (SPIC), salah satu daripada lima syarikat utiliti terbesar dalam negara.
Mereka yang tidak bersetuju dipukul oleh polis, katanya, menambah ‘ada di antara mereka dimasukkan ke hospital, ada di antaranya ditahan.’
Pi dipenjara selama 40 hari manakala Long meringkuk dalam penjara selama sembilan bulan kerana ‘mengadakan perhimpunan haram dan mengganggu ketenteraman awam,’ selepas bantahan awam. “Situasi sama dengan mafia,” kata Pi. “Jika awda mengadu, awda akan ditindas, dipenjara dan dijatuhi hukuman.”
Pendapatan boleh guna tahunan purata di Baoding berjumlah kira-kira 16,800 yuan, angka yang gagal diperoleh oleh Long dan Pi sekarang.
AFP tidak dapat mengesahkan elektrik daripada projek SPIC berdekatan Huangjiao akan digunakan untuk menjana venur Olimpik secara langsung, disebabkan maklumat tersebut tidak dapat diperoleh.
Syarikat itu enggan mengesahkan apabila ditanya AFP. Namun kerajaan Zhangjiakou, bandar yang menganjur bersama Sukan – telah berkata sejak memenangi bidaan Olimpik pada 2015, kawasan itu telah ‘berubah menjadi pangkalan tenaga boleh diperbaharui bukan hidro terbesar di China.’
Subsidi kerajaan untuk ladang angin dan solar juga telah mempercepat pembangunan projek sedemikian di kawasan lain Hebei, ketika China bergegas untuk mengurangkan pencemaran udara sebelum Sukan.
Dalam satu kenyataan, Amnesti Antarabangsa berkata ‘pengusiran paksa, rampasan tanah dan kehilangan mata pencarian berkaitan dengan kehilangan tanah’ adalah antara isu hak asasi manusia yang paling kerap dikaitkan dengan sektor tenaga angin dan solar.
China mahu 25 peratus daripada elektriknya datang daripada bahan api bukan fosil pada 2030.
Untuk mencapainya, negara itu perlu menambah dua kali ganda kapasiti angin dan solar – namun penyokong alam sekitar mengingatkan rampasan tanah akan menjadi lebih berleluasa tatkala syarikat tenaga bergegas untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui.
Walaupun Beijing telah menetapkan beberapa siri sasaran untuk Olimpik Musim Sejuk, pekempen alam sekitar berdepan tekanan besar di China sekiranya mereka mencabar dasar kerajaan.
Untuk mengurangkan konflik apabila mengambil tanah kampung, China telah memperuntukkan kebanyakan ladang solar sebagai projek pembasmian kemiskinan, di mana penduduk kampung mendapat elektrik percuma daripada panel solar yang dipasang di atas bumbung mereka.
Namun di Huangjiao dengan lebih 300 keluarga, hanya dua bumbung mempunyai panel solar, dan penduduk kampung berkata tidak adanya program untuk memasang panel solar. – AFP