VINA DEL MAR, CHILE – Selepas kebakaran hutan yang memusnahkan taman botani terbesar di Chile, taman berusia berabad-abad itu sedang dipulihkan dengan penanaman beribu-ribu pokok asli yang diharapkan tidak mudah terbakar.
Kebakaran tahun lalu – dianggap paling dahsyat dalam sejarah Chile baru-baru ini – membunuh 136 orang, meranapkan seluruh kawasan kejiranan dan memusnahkan 90 peratus daripada taman seluas 400 hektar di bandar pantai Vina del Mar.
Pengarah taman berkenaan, Alejandro Peirano berpendapat ia hanya menunggu masa sebelum kebakaran hutan kembali.
“Apa-apa pun, kami akan mengalami kebakaran. Itu sudah pasti,” beritahunya kepada AFP, ketika berdiri di bawah salah satu pokok yang terselamat daripada kebakaran itu.
Dengan pihak berkuasa meramalkan satu lagi musim kebakaran hutan yang teruk akibat peningkatan suhu, taman itu mahu memastikan ia cukup bersedia dengan lebih baik untuk terus bertahan.
Ia mewujudkan ‘garisan pertempuran’ baharu dengan pokok seperti liter, quillay dan colliguay yang berasal dari hutan Mediterranean yang ditemui di kawasan yang mempunyai musim panas yang melampau dan kering.
“Rancangannya adalah untuk meletakkan spesies yang terbakar lebih perlahan di barisan hadapan ‘pertempuran’ supaya api kebakaran, yang akan berlaku, tidak marak begitu cepat,” kata Peirano.
PEMULIHAN BERAKAR UMBI
Suhu musim panas dan tiupan angin kencang bermakna kebakaran pada Februari 2024 menjejas teruk Vina del Mar, 120 kilometer dari barat laut Santiago, menyebabkan 16,000 orang kehilangan tempat tinggal.
Taman Botani Negara Vina del Mar, yang pertama kali direka oleh arkitek Perancis, Georges Dubois pada tahun 1918, mempunyai 1,300 spesies tumbuhan dan pokok, termasuk pakis asli dan eksotik, cemara gunung, sawit Chile dan pokok ceri Jepun.
Ada yang berasal daripada benih yang terselamat daripada pengeboman atom Hiroshima pada tahun 1945.
Taman itu adalah rumah kepada hidupan liar termasuk marsupial, musang kelabu dan burung yang tidak terkira banyaknya.
Beberapa minggu lalu di salah satu cerun taman, berpuluh-puluh sukarelawan mula menanam 5,000 pokok asli yang disiram melalui sistem pengairan.
Dalam masa dua tahun, daun-daun pokok dijangka tumbuh cukup besar untuk memberikan tempat teduh dan menggalakkan pertumbuhan semula spesies lain di sekelilingnya.
Projek penanaman pokok adalah sebahagian daripada rancangan peringkat pertama untuk menghidupkan semula taman melalui perkongsian awam-swasta.
Taman itu juga dijangka akan dihutankan semula dengan spesies yang mampu menyesuaikan diri dengan ‘hujan yang terhad dan kemarau yang berpanjangan,’ kata Benjamin Veliz, seorang jurutera hutan dengan Wildtree, kumpulan pemuliharaan yang terlibat dalam projek itu.
Langkau api juga sedang didirikan di pinggir taman dan lurahnya sedang dibersihkan daripada tumbuh-tumbuhan kering dan sampah yang mencetuskan api.
Tidak seperti pokok kayu putih, spesies eksotik yang cepat terbakar, sesetengah pokok asli mampu bertahan atau membendung api lebih lama, menurut penyelidikan oleh Universiti Teknikal Federico Santa Maria (USM).
Eksperimen saintifik telah menunjukkan bahawa spesies quillay dan litre, sebagai contoh, tidak mudah terbakar berbanding kayu putih dan pain, kata penyelidik USM, Fabian Guerrero.
Apabila kebakaran berlaku pada Februari tahun lalu, tidak banyak yang dapat dilakukan oleh anggota bomba untuk menghalangnya daripada memusnahkan sebahagian besar taman dalam masa kurang dari satu jam.
Namun alam semula jadi semakin pulih beransur-ansur: hujan yang banyak pada tahun 2024 di tengah Chile – selepas lebih sedekad kemarau – telah menyaksikan tunas hijau mula tumbuh dan pulih di taman botani.
Ciri-ciri menarik hutan Sclerophyll yang kalis terhadap kemarau musim panas adalah ‘pokok yang terbakar sudah pulih,’ kata Peirano. – AFP