YANGON, 24 MEI – Penanaman padi kacukan di Myanmar dengan bantuan China sejak 2016 yang kini seluas 13.3 ribu hektar berjaya meningkatkan pengeluaran padi itu sekali ganda berbanding sebelum ini.
Ketua Pengarah Bahagian Urusan Luar Syarikat Sains dan Teknologi Benih Mingtian Jiangsu, Jiang Yintao berkata pertukaran teknologi dan kerjasama China-Myanmar dalam bidang tanaman padi kacukan terbukti berjaya membuahkan hasil memberangsangkan.
“Sebagai contoh, seramai lebih 60 pakar teknikal pertanian Myanmar telah mempelajari teknologi penanaman dan kaedah pengeluaran padi paling terkini ketika menghadiri kursus.
“Kursus itu anjuran bersama Kementerian Perdagangan China dan Syarikat Pertanian Teknologi Tinggi Yuan Longping yang berlangsung selama 45 hari di Nay Pyi Daw pada 2019,” katanya dalam temu ramah dengan Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.
Myanmar merupakan negara pengeluar dan pengeksport beras ketujuh terbesar di dunia.
Namun, petani tempatan menghadapi kesukaran untuk meningkatkan pendapatan akibat teknologi pengeluaran yang masih ketinggalan. – Bernama




































