Projek tebatan banjir Sungai Rampayan bakal dilaksana

KOTA KINABALU, 16 SEPT – Kerajaan akan melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Rampayan bagi mengatasi masalah banjir di Manggatal serta kawasan sekitarnya, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata berdasarkan rekod kementeriannya, projek bernilai RM36 juta itu yang diluluskan kerajaan terdahulu, tidak pernah ditarik balik meskipun berlaku perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya berjanji akan memastikan projek ini dapat dilaksanakan untuk memastikan masalah banjir di kawasan Manggatal dan sekitarnya dapat diselesaikan,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan calon Barisan Nasional (BN) bersama rakyat di Inanam hari ini.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika menjawab soalan dan rungutan penduduk mengenai masalah itu yang disampaikan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai Datuk Yakub Khan.

Turut hadir Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang juga calon BN di DUN Lamag, dan Datuk Jumat Idris calon BN bagi DUN Darau. – Bernama