Wednesday, December 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Projek telaga bawah tanah tingkatkan penanaman padi

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Daniel Lim

    BELAIT, 18 OKT – Projek Telaga Kekal Air Bawah Tanah di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Lot Sengkuang merupakan langkah penting dalam merealisasikan visi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menjamin keselamatan makanan negara.

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong pada majlis perasmian telaga kekal itu di KKP Lot Sengkuang, Mukim Labi, Daerah Belait kelmarin.

    Menurut Yang Berhormat Dato lagi, mempunyai air yang banyak untuk menanam padi adalah amat penting dan terdapat cabaran mendapatkan bekalan air dalam jumlah yang banyak dan konsisten.

    “Di Kampung Labi ini, kita berjaya mengeluarkan air yang akan dibekalkan ke seluruh sawah padi bagi memastikan penanaman padi dapat dihasilkan dua kali setahun, di mana sebelumnya ia hanya dihasilkan sekali setahun.”

    Beliau mengulas perkara itu semasa lawatan ke kawasan pertanian tersebut bagi meninjau penuaian padi. Beliau percaya dengan adanya sumber air alternatif ini, petani akan dapat mengusahakan sepenuhnya penanaman dan tidak hanya bergantung kepada turunan hujan untuk penghasilan padi yang tinggi, menambah bahawa projek seumpamanya juga akan dilaksanakan di beberapa kawasan pertanian lain bagi memastikan sumber air alternatif dan konsisten.

    Perasmian disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato dan diselajurkan dengan acara mengetam padi anjuran bersama Jabatan Pertanian dan Agrimakanan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan Majlis Perundingan Mukim (MPM) Labi.

    Majlis perasmian turut diselajurkan dengan tinjauan bagi projek tersebut yang mana rombongan Yang Berhormat Dato dialu-alukan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Pengerusi MPM Labi, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput; Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin dan ahli-ahli MPM lain.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali turut mendengar taklimat ringkas penggunaan sumber air daripada telaga kekal itu yang antara lain merupakan Projek Penerokaan Air Bawah Tanah dilaksanakan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Preston Geocem (B) Sdn Bhd bermula 2 Jun lalu dan siap sepenuhnya pada 14 September lalu.

    Tujuan utama projek tersebut adalah bagi mendapatkan sumber air alternatif di kawasan-kawasan penanaman padi yang belum mempunyai sistem pengairan yang lengkap bagi kegunaan para peladang di kawasan tersebut terutama pada luar musim penanaman padi.

    Majlis turut diselajurkan dengan acara mengetam padi bersama ahli MPM dan para pegawai Jabatan Pertanian dan Agrimakanan di tapak ladang padi yang sama.

    Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan melihat air telaga yang dikeluarkan untuk dibekalkan ke sawah-sawah padi.
    Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan ketika menyaksikan padi yang dituai dimasukkan ke dalam bekas.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda