Projek ternakan lembu bantu penduduk perkampungan bidayuh

BAU – Melihat kelibat beberapa penduduk yang tekun menanam rumput di Kampung Merembeh, sebuah perkampungan kaum Bidayuh di daerah Bau, pasti ramai yang berasa hairan dengan perbuatan itu, yang dianggap sebagai tidak memberikan sebarang hasil.

Namun rumput yang ditanam itu sebenarnya bukanlah jenis yang biasa kerana ia adalah spesis Napier yang khusus untuk dijadikan makanan lembu pedaging, satu usaha penternakan komersil yang dimulakan di kampung itu.

Seramai 30 peserta terlibat dengan Projek Ternakan Lembu Pedaging yang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) ini, yang menyaksikan tanah milik peserta dijadikan tapak penanaman rumput Napier dan juga pembinaan kandang ternakan itu.

“Saya dengar ramai yang tidak berani menceburi bidang penternakan lembu pedaging ini di Sarawak kerana kurang ilmu asas dalam penternakan, tetapi selepas mendengar penerangan berkenaan dengan potensi besar bidang ini, saya bertekad mencubanya,” kata salah seorang peserta projek itu, Suar Kapit, 66, kepada Bernama.

Kerajaan Sarawak membekalkan 150 ekor baka lembu bagi projek ternakan lembu pedaging itu, dengan 120 ekor dibekalkan secara pawah atau pinjaman melalui Program Pawah Lembu dan 30 ekor lagi secara geran melalui Program Geran Baka Ternakan.

Sebahagian daripada 30 peserta mula menanam rumput spesis Napier yang khusus untuk dijadikan makanan lembu pedaging di tapak Projek Ternakan Lembu Pedaging yang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) di Kampung Merembeh iaitu sebuah perkampungan kaum Bidayuh di daerah Bau dekat sini. – Bernama
Kelihatan beberapa orang peserta melaksanakan kerja penanaman rumput. – Bernama

Lembu yang akan dibekalkan secara geran adalah percuma manakala bagi lembu secara pawah pula, peserta akan menggantikannya dengan anak lembu yang dilahirkan hasil lembu pinjaman itu setelah anak lembu berkenaan mencapai umur antara 12 dan 24 bulan, dalam tempoh enam tahun.

Peserta juga akan terus diberikan panduan serta khidmat nasihat daripada JPVS sepanjang penglibatan mereka dalam projek itu, dan dengan kemudahan yang disediakan Kerajaan Sarawak inilah membuatkan Suar untuk tidak teragak-agak untuk menyertai projek berkenaan.

“Sudah tentu kerajaan Sarawak mahu melihat kehidupan kami lebih maju lagi apabila projek ini berjaya, sekali gus dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk kampung. Bukanlah sesuatu yang merugikan untuk turut serta, sebaliknya ia akan membawa keuntungan baharu,” katanya.

Seorang lagi peserta, Nor Hasimah Abdullah, 59, berkata beliau tidak melepaskan peluang untuk sama-sama terlibat dalam projek itu yang diyakininya dapat membuka rezeki baharu setelah bersara sebagai seorang anggota tentera sejak beberapa tahun lepas.

“Jadi program ini memang dapat membantu saya, saya sertai program ini sebab program ini belum pernah ada di Bau, cuma kampung ini sahaja yang ada,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Zon Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Serembu, Libin Teher berkata pada mulanya majoriti penduduk Kampung Merembeh agak skeptikal untuk menerima usaha kerajaan negeri dalam bidang penternakan lembu pedaging.

“Namun setelah diberikan penerangan, kini mereka menerima dengan hati yang terbuka untuk mengusahakan ternakan lembu ini di tanah milik mereka (peserta program penternak lembu pedaging).

“Kami harap apa yang dirancang kerajaan dengan peserta penternakan akan membuahkan hasil, kami akan buat sedaya upaya supaya orang nampak perubahan dari segi kemajuan dan pendapatan orang kampung,” ujarnya.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang meninjau projek itu baru-baru ini berkata projek berkenaan mempunyai potensi cerah untuk menampung permintaan semasa daging negeri ini selain mengurangkan kebergantungan kepada daging import.

Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata Sarawak setakat ini hanya mampu mengeluarkan 12 peratus keperluan daging lembu dan usaha ini adalah permulaan untuk menjadikannya negeri pengeluar ternakan atau pengeksport bersih Agro Makanan menjelang 2030.

Uggah berkata Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM400,000 untuk projek di Kampung Merembeh yang merupakan projek perintis dengan melibatkan komuniti Bidayuh di perkampungan yang terletak kira-kira 45 kilometer dari bandar raya Kuching.

Peruntukan itu akan meliputi perbelanjaan untuk penyediaan tanah, pembelian mesin serta pembinaan bangsal untuk penyimpanan mesin yang akan memanfaatkan peserta projek ternakan lembu.

Selain itu, peruntukan RM500,000 turut diberikan untuk menampung kos pembinaan kandang lembu yang akan diternak di bawah projek itu dengan hasrat untuk menjadikannya pemangkin bagi meningkatkan lagi populasi ternakan berkenaan di Sarawak. “Sasaran kita adalah untuk meningkatkan populasi ternakan lembu kepada 150,000 ekor pada tahun 2030 berbanding hanya 18,000 ekor pada masa ini,” tambahnya. – Bernama