Oleh Daniel Lim
BELAIT, 26 JULAI – Kelab Lions Belait telah menganjurkan pemeriksaan kesihatan sebagai sebahagian daripada Projek Kesedaran Diabetes di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kampung Pandan, baru-baru ini.
Projek itu diketuai pengerusi penganjur Lions, Terry Khoo, diiringi oleh presiden kelab, Keith Wong dan setiausaha, Joseph Teo serta dibantu dua jururawat bersara Pang serta Connie Leong dan anggota sukarelawan, Julie Shim.
Ketika ditemu bual media, Terry Khoo berkata pemeriksaan yang dijalankan termasuk ukuran berat dan ketinggian, tekanan darah dan paras gula, BMI, paras oksigen serta denyutan nadi.
“Secara keseluruhan, ia membantu memberikan gambaran mengenai kesihatan seseorang. Orang ramai juga diberi penerangan mengenai diabetes, penyakit yang menjejas kebanyakan orang di negara,” kata beliau.
Seramai 25 orang menjalani pemeriksaan pada hari itu. Dengan aktiviti yang dianjurkan, kelab berharap ia akan membantu menambah kesedaran mengenai risiko diabetes dan menyediakan rundingan mengenai langkah-langkah pencegahan dalam kehidupan harian mereka.