Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 29 Jan – Sejak menampilkan diri menyertai jualan-jualan ekspo dan bazar di negara ini, Dayang Suliana dari Jakarta terus fokus menampilkan produk jualannya berupa makanan kering dan jeruk buah-buahan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan penduduk di negara ini.
Pengurus Syarikat Alfa itu semasa ditemui Media Permata, di Ekspo Bah Singgah di Pusat Insani di sini menyatakan, produk buatan sendiri (home made) makanan kering seperti kacang goreng, keropok dan jeruk buah mangga, salak dan kedondong, sejak awal memang menjadi kegemaran masyarakat di sini selain mereka menawarkan dengan jualan harga yang berpatutan.
“Kami sudah mula melibatkan diri menyertai berbagai-bagai ekspo jualan di negara ini, kerana kami mahu produk kami dinikmati oleh semua masyarakat. Kami memfokuskan kepada produk makanan kering dan jeruk. Sejak 1999 hingga sekarang, produk kami tetap dicari setiap kali diadakan ekspo di mana sahaja di negara ini,” katanya.
Syarikat Alfa merupakan antara 60 peserta yang terlibat menyertai Ekspo Bah Singgah anjuran Plaza Sutera Biru yang berlangsung di Dewan Pusat Insani di sini selama empat hari sejak Jumaat lalu.
Ekspo tersebut antara lain bertujuan memberikan sokongan kepada kalangan peniaga-peniaga tempatan terutama sekali peniaga-peniaga kecil dan sederhana. Ia akan diadakan pada setiap bulan dengan tema yang berbeza sebagai usaha menggalakkan penduduk supaya gemar berbelanja di negara sendiri di samping menceriakan lagi Daerah Belait dengan aktiviti berterusan.


Ekspo tersebut turut menampilkan Kufi Art Printing, diusahakan oleh seorang pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) sebagai perniagaan sampingan.
Satay House Street yang dikendalikan oleh tiga orang sahabat, Awang Mohd Mustaqim Aizat bin Haji Kepli, Awang Azim bin Mahmud dan Awang Mohd Haziq bin Husin, turut mengisikan petak jualan ekspo berkenaan dengan menampilkan jualan burger buatan sendiri yang juga sudah dikenali ramai terutama oleh penduduk di sini.
Awang Mohd Mustaqim Aizat, 20, yang juga merupakan pelajar di IBTE Kampus Jefri Bolkiah memberitahu, mereka bertiga sudah memulakan perniagaan secara kecil-kecilan itu sejak tahun lalu yang diadakan pada sebelah malam di kawasan Lorong Tiga Seria.
Katanya, untuk menghindari daripada membuang masa dengan melepak, mereka bertiga membuat keputusan untuk membuka perniagaan kecil itu dan perniagaan itu mereka buat secara sambilan tetapi hasilnya sangat menggalakkan.
Sementara itu, bagi Awang Suhaimi bin Haji Majid, dari Syarikat SB Decor Kiulap, beliau menyertai ekspo tersebut untuk lebih memperkenalkan lagi produk mereka yang kini sudah mulai dikenali ramai dan menjadi kegemaran sebagai material alternatif penggunaan kertas dinding (wall paper) atau cat di rumah-rumah kediaman.
Menurutnya produk yang mereka gunakan 100 peratus buatan kapas asli dan tidak mengandungi bahan kimia, selamat untuk digunakan, selain tidak berbau dan juga kalis api. Mereka juga memberikan jaminan selama 10 tahun bagi setiap pemasangan.
“Sempena dengan ekspo ini, kami juga menawarkan harga promosi dan bagi mereka yang berhajat untuk membuat pemasangan selepas daripada tarikh ekspo ini, boleh membuat bayaran deposit $50 sebagai tempahan mendapatkan harga promosi,” katanya.
Ekspo Bah Singgah, merupakan kali pertama dianjurkan oleh Plaza Sutera Biru dan dijangka akan diadakan setiap bulan.