Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Promosi bahan terbitan Negara

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan Dayang Siti Nadhrah

    Dalam usaha mempromosi bahan terbitan negara merangkumi aspek sejarah, bahasa, budaya dan warisan di peringkat antarabangsa, Negara Brunei Darussalam di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah menyertai Pesta Buku Antarabangsa Muscat ke-27 pada tahun ini.

    Pesta buku berkenaan berlangsung selama 11 hari pada 22 Februari hingga 4 Mac 2023 di Oman Convention & Exhibition Centre (OCEC), Muscat, Oman. Sebanyak 826 penerbit dan pengedar buku dari 32 negara telah mengambil bahagian dalam pesta buku antarabangsa tersebut.

    Hadir pada majlis perasmian pesta buku berkenaan ialah Menteri Dalam Negeri, Kesultanan Oman, Tuan Yang Terutama Sayyid Hamoud bin Faisal Al Busaidi, juga penaung Pesta Buku Antarabangsa Muscat.

    “Sebagai wakil KKBS, penyertaan pesta buku berskala antarabangsa di Kesultanan Oman ini merupakan satu peluang dan pengalaman yang sangat berharga. Sambutan pesta buku khususnya respons pengunjung-pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Muscat terhadap bahan-bahan terbitan negara yang dipamerkan dan dijual adalah perkara yang sangat menarik untuk dikongsikan kepada pihak kementerian dan jabatan.

    “Pengalaman ini juga pastinya boleh diaplikasikan bagi sebarang penambahbaikan dan pembaharuan yang bersesuaian untuk bahan-bahan terbitan dan pesta buku negara akan datang,” itulah antara perkongsian daripada ketua rombongan yang mewakili KKBS, juga selaku Pengarang Kanan di Pusat Sejarah Brunei (PSB) ke Pesta Buku Antarabangsa Muscat, Dayang Siti Nadhrah binti Norzelan, semasa dihubungi penulis secara dalam talian.

    DARI KIRI: Hajah Norlydiaty, Dayang Siti Nadhrah, Haji Raduan, dan Haji Awang Ahmad Hazman semasa di petak jualan buku di Pesta Buku Antarabangsa Muscat ke-27 yang berlangsung di Oman Convention & Exhibition Centre (OCEC), Muscat, Oman.
    Antara pengunjung ke petak jualan di bawah KKBS semasa berlangsungnya pesta buku berkenaan.
    Antara pengunjung ke petak jualan semasa berlangsungnya pesta buku berkenaan.
    Pameran kesenian seperti kaligrafi juga diadakan di ruang legar.

    Tiga orang pegawai yang turut mewakili negara ke pesta buku berkenaan terdiri daripada Pegawai Pemasaran, PSB, Hajah Norlydiaty binti Jaya; Penolong Penyunting Tingkat II, Jabatan Muzium-muzium, Haji Raduan bin Haji Ratu; dan Penjual Buku dan Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Haji Awang Ahmad Hazman bin Haji Awang Alli.

    Antara buku yang dipamerkan dan dijual di pesta buku tersebut adalah 20 buku terbitan PSB; 20 buku terbitan Jabatan Muzium-muzium; dan 46 buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

    Tajuk-tajuk buku termasuk As Guest of Allah with Members of Brunei Royal Family: A Memoir; Brunei and Nusantara: History in Coinage; The Heroism of Awang Semaun; Al Malikul Sh Sha‘ir; Assultan Assyarif ‘Ali; Featherstars of the Sea Around Brunei Darussalam; Usrah Si Kalabang; Poskad Arkib; The Arabs and The Art of Translation; Asal Usul Sungai Si Amas (terjemahan dalam bahasa Arab, Jepun, Jerman, Korea, Mandarin dan Perancis); The Golden Warisan Brunei Darussalam Vol. 1 dan Vol. 2; dan Zoey Topeng Sakti 1 dan 2 (Versi Inggeris).

    Selain itu, pelbagai program dan aktiviti kebudayaan dan kesenian daripada pelbagai syarikat dan agensi juga diadakan bagi memeriahkan suasana sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Muscat.

    Antara program dan aktiviti berkenaan ialah Seminar Omani Culture in UNESCO; Sesi Dialog The Historical Novel in Oman dan Youth and the Industry of Influence on Social Media; Sesi Diskusi Omani Cultural Identity; Bengkel How to Choose the Story that Suits My Child; manakala aktiviti-aktiviti gabungan kebudayaan, kesenian dan sains teknologi khusus untuk kanak-kanak telah diselenggarakan oleh Oman’s Children Museum dan Pusat Teknologi dan Sains dari Interior Governorate.

    Di samping pameran dan jualan buku di dalam dewan utama, pameran kesenian seperti lukisan, fotografi, kaligrafi dan muzik telah diadakan di ruang legar.

    Dayang Siti Nadhrah turut mengongsikan bahawa penyertaan negara ke pesta buku antarabangsa ini diadakan susulan perjanjian persefahaman (MoU) di antara KKBS Negara Brunei Darussalam dengan Kesultanan Oman bagi mempromosi kebudayaan kedua-dua buah negara. Penyertaan ini juga atas jemputan kedua-dua negara semasa pesta buku diadakan sama ada di Negara Brunei Darussalam mahupun di Kesultanan Oman.

    Walaupun respons dari segi penjualan bahan-bahan terbitan agak perlahan, namun rakyat Kesultanan Oman dan para pengunjung pesta buku sangat tertarik melihat bahan-bahan terbitan negara dan memberikan respons yang positif.

    “Selain mempamer dan menjual bahan-bahan terbitan, kami juga sangat berbangga dapat memperkenalkan Negara Brunei Darussalam kepada rakyat Kesultanan Oman dan para pengunjung pesta buku yang begitu berminat ingin mengetahui dan mengenali negara kitani,” ujarnya.

    Sepanjang berada di pesta buku berkenaan, empat pegawai yang mewakili KKBS mengongsikan pandangan bahawa Kesultanan Oman merupakan sebuah negara yang mempunyai perspektif budaya yang unik dan mempunyai identiti yang tersendiri. Keunikan budaya dan tradisi yang masih dipraktikkan dan diamalkan di negara ini menjadi sumber tarikan yang luar biasa kepada para pelancong.

    Program-program dan aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan sempena Pesta Buku Antarabangsa Muscat memperlihatkan bahawa negara ini sangat kaya dengan budaya dan tradisi yang meliputi pelbagai aspek kehidupan seperti makanan, pakaian, pekerjaan dan gaya hidup masyarakatnya.

    Ia termasuklah budaya membaca yang masih diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat di negara ini. Malah, usaha ke arah melahirkan generasi yang suka membaca terus diungkayahkan melalui pelbagai program dan aktiviti di pesta buku berkenaan.

    Misalnya, The 4 Books Programme yang diasaskan oleh Abdul Rahim Al-Farsi. Program ini berkonsepkan 4 books 4 author dan read & discuss yang ditawarkan secara percuma kepada semua peringkat umur dengan syarat setiap peserta harus mengikuti proses program berkenaan sehingga selesai.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...