Promosi bahasa dan budaya Cina

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 12 JULAI – Seramai 18 orang pelajar dari enam buah sekolah Cina di seluruh negara telah menyertai Pertandingan Pidato dan Bercerita yang dikendalikan oleh Sekolah Menengah Chung Ching, Seria, hari ini.

Pertandingan yang diadakan di dewan serba guna sekolah berkenaan telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan kategori antaranya Kategori Pelajar Sekolah Rendah yang menyampaikan sesi bercerita dan Kategori Pelajar Sekolah Menengah yang menyampaikan pidato. Kategori Pelajar Sekolah Menengah dibahagikan lagi kepada dua kumpulan iaitu kumpulan pelajar Cina dan pelajar bukan Cina.

Hadir menyaksikan pertandingan berkenaan selaku tetamu kehormat ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Chung Ching, Chin Kim Min yang diiringi oleh ahli-ahli lembaga pengarah sekolah berkenaan.

Turut hadir ialah pengetua sekolah, Dr Ang Sik Liong serta ibu bapa dan penjaga pelajar yang bertanding dalam pertandingan berkenaan.

Antara sekolah-sekolah yang menyertai pertandingan berkenaan adalah Sekolah Menengah Chung Ching; Sekolah Menengah Chung Hua, Kuala Belait; Sekolah Chung Lian, Sungai Liang; Sekolah Chung Hwa, Kiudang; Sekolah Chung Hwa, Tutong dan Sekolah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan. Dalam pertandingan itu, Kategori Pelajar Sekolah Menengah dalam Kumpulan Pelajar Cina telah dijuarai oleh Queenie Huong Yi Gia diikuti oleh Yeh Zhi Ying di tempat kedua dan Chin Lik Ting di tempat ketiga.

Bagi kumpulan pelajar bukan Cina pula, tempat pertama dimenangi oleh Shamita Tanushri Sures diikuti oleh Shivani Santhosh dan Sneha Elizaneth, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Sementara itu, bagi Kategori Pelajar Sekolah Rendah, Mavise Chan En Yi memenangi tempat pertama dengan Thian Siao Fen menduduki tempat kedua dan Ardan Lee Hao di tempat ketiga.

Dengan kejayaan pertandingan berkenaan, pihak sekolah berharap ia akan terus diadakan setiap tahun, bukan sahaja untuk menghimpunkan pelajar-pelajar terbaik dari seluruh negara untuk bertanding dan mengasah bakat bersama-sama, malah membantu mempromosikan bahasa dan budaya Cina dalam kalangan pelajar.

Tiga pemenang teratas dari semua kategori dan kumpulan bergambar bersama ahli Lembaga Pengarah sekolah.