Promosi budaya Sabah di peringkat antarabangsa

KOTA KINABALU, 22 Mei – Program Tugu Budaya Etnik Sabah yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini menjadi aktiviti pertama dijalankan sempena penganjuran Festival Tarian Rakyat Remaja Antarabangsa yang memasuki edisi ke-10 pada tahun ini.

Festival tersebut bermula 9 hingga 13 Julai nanti anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dengan kolaborasi bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Pengerusi LKNS Ismaily Bungsu berkata Tugu Budaya Etnik Sabah adalah program unik dan efektif bagi mempromosikan budaya Sabah membabitkan etnik yang ada.

Katanya program ini merupakan satu komponen yang penting dalam penganjuran Festival Tarian Rakyat Remaja Antarabangsa pada setiap tahun.

“Ini secara tidak langsung menjana ekonomi negeri ini menerusi aktiviti kebudayaan dan mempromosikan Sabah sebagai sebuah negeri yang mempunyai banyak etnik kaum dan budaya dengan perpaduan kalangan rakyat sangat erat,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran program itu di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini.

Katanya bagi program tugu budaya etnik Sabah ini, selain membabitkan pelajar di negeri ini, ia turut membabitkan pelajar dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Menurutnya bagi festival tarian rakyat remaja antarabangsa pada Julai nanti, 10 negara sudah mengesahkan penyertaan antaranya dari Uzbekistan, Sri Lanka, India, Indonesia, Filipina dan Brunei. – Bernama