Oleh Nurdiyanah R.
BELAIT, 26 OGOS – Sebagai sebahagian daripada inisiatif mempromosikan bumi yang lebih hijau sekali gus meningkatkan kesedaran tentang krisis iklim terutamanya isu penebangan hutan, Colours of Planet Earth (COPE) dengan kerjasama 40 pelajar dari Politeknik
Brunei (PB) Kampus Lumut telah melaksanakan projek penanaman anak pokok di sekitar kampus berkenaan, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang daripada COPE, sebanyak 50 anak pokok Eugenia Oleina telah ditanam semasa projek itu yang turut disokong oleh Sustainable Ocean Alliance (SOA) Brunei dan Kedutaan Amerika Syarikat di Bandar Seri Begawan.
Perlaksanaan projek berkenaan telah dimulai dengan ceramah kesedaran mengenai kepentingan pokok dalam mengurangkan tahap karbon dioksida (CO2) di udara.
Dalam pada itu, projek berkenaan turut diserikan dengan sesi kuiz untuk menguji pengetahuan am pelajar mengenai pokok, di mana tiga orang pemenang terbaik diberikan hadiah-hadiah menarik seperti Miniso Bluetooth Speaker, baucar Coffee Bean & Tea Leaf, peralatan tulis dan sebagainya.