Promosi dasar rendah karbon

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Lebih 30 orang peserta dari jabatan-jabatan kerajaan, sektor swasta dan pemain industri minyak dan gas di negara ini telah mengikuti bengkel Pasukan Petugas Dokumen Operasi bagi Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.

Bengkel yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Dewan Atria Simpur, Jabatan Kerja Raya itu menumpukan kepada Strategi 1, Pelepasan Industri dan Strategi 9 bagi Inventori Karbon.

Hadir merasmikan bengkel berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga, Haji Azhar bin Haji Yahya selaku agensi peneraju bagi Strategi 1 dan juga selaku pengerusi bagi Jawatankuasa Eksekutif Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.

Bengkel antara lain bertujuan untuk membentuk sebuah peta jalan yang komprehensif seterusnya menghasilkan pelan tindakan yang terperinci dalam merealisasikan hasrat negara untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau negara.

Manakala itu, Strategi 9 iaitu Inventori Karbon pula bertujuan untuk membentuk satu peraturan bagi kesemua fasiliti atau ejen yang mengeluarkan atau menyerap gas rumah hijau untuk melaporkan data gas rumah hijau masing-masing.

Bengkel dianjurkan bersama oleh Kementerian Tenaga selaku agensi peneraju bagi Strategi 1 dan Urus Setia Perubahan Iklim selaku agensi peneraju bagi Strategi 9 yang disokong oleh pemudah cara dari Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam yang telah dilantik bersama agensi-agensi peneraju.

Haji Azhar bergambar bersama peserta bengkel yang berlangsung di Dewan Atria Simpur, Jabatan Kerja Raya.