Promosi destinasi menarik

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Indonesia merupakan sumber kemasukan ketiga terbesar bagi sektor pelancongan ke Brunei Darussalam selepas China (65,563 pelawat) dan Malaysia (59,528 pelawat), di mana pada tahun lepas seramai 27,463 pengunjung telah direkodkan.

Perkara berkenaan dijelaskan oleh Duta Besar Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko ketika berucap di Majlis Perasmian Pameran Pelancongan Wonderful Indonesia 2019 yang diadakan di The Mall, Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya melancarkan pameran berkenaan ialah Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Haji Halidi bin Haji Mohd Salleh.

Semasa pameran tersebut, Dr Sujatmiko berkata dalam usaha untuk meningkatkan jumlah kedatangan warga Brunei untuk berkunjung ke Indonesia, beberapa rancangan kini sedang dilakukan seperti mempromosikan lebih banyak produk yang menarik.

Berdasarkan biro statistik Indonesia, lebih dari 17,279 warga Brunei mengunjungi Indonesia pada tahun 2018 berbanding tahun sebelumnya iaitu 23,455 pelawat, jelasnya.

Haji Halidi ketika melawat salah sebuah petak pameran. – Gambar oleh Bahyiah Bakir

“Lawatan ke Indonesia oleh rakyat Brunei didominasi oleh pengangkutan udara iaitu sebanyak 58.3 peratus, diikuti dengan laluan darat sekitar 41 peratus dan laut 0.7 peratus.

“Jakarta yang mempunyai penerbangan langsung dari Brunei ke tiga bandar di Indonesia iaitu Jakarta, Surabaya dan Bali, menawarkan salah satu destinasi teratas di Indonesia iaitu Seribu Islands,” tambahnya.

TYT Dr Sujatmiko juga menyatakan bahawa lima destinasi utama Indonesia juga dipamerkan semasa pameran tersebut untuk menarik lebih ramai pelancong dari pasaran Brunei, antaranya ialah Bali, Aceh, Sumatera Barat, Jakarta dan Yogyakarta.

Beliau menambah bahawa destinasi baharu seperti Derawan di Kalimantan Timur juga memberi peluang yang baik kepada warga Brunei untuk membuka pasaran baharu.

Duta Besar Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam itu juga menyentuh mengenai hubungan dua hala antara Brunei dan Indonesia, yang mempamerkan ikatan kukuh antara kedua-dua negara.

“Kedua-dua negara terus menikmati hubungan yang kuat dengan kerjasama yang luas, termasuk perdagangan dan pelaburan, pelancongan, pertanian, marin dan perikanan, kesihatan, pertahanan, pendidikan, belia, budaya dan hubungan masyarakat,” katanya.

Menurutnya, Indonesia kini sedang menumpukan perhatiannya kepada sektor pelancongan berikutan dengan perkembangan yang berpotensi dalam sektor tersebut, baru-baru ini.

TYT Dr Sujatmiko juga menjelaskan bahawa untuk tahun 2019, Indonesia akan menumpukan perhatian kepada kegiatan jualan dan menjalinkan kerjasama dengan syarikat penerbangan atau pemborong, dan membangunkan 10 destinasi pelancongan negara.