Promosi istimewa pembiayaan pinjaman rumah

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mei – Dalam usaha untuk memberikan penjimatan kepada pelanggan yang ingin membeli rumah, Bank Baiduri akan melancarkan promosi istimewa dalam pembiayaan pinjaman rumah.

Menurut Ketua Rangkaian Cawangan dan Perbankan Runcit Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha ketika bercakap mengenai promosi tersebut bahawa keputusan untuk melakukan pelaburan bagi memiliki rumah terutama sekali bagi mereka yang kali pertama berhasrat untuk membina rumah merupakan satu perkara yang perlu diambil perhatian kerana ia merupakan pelaburan jangka panjang.

“Tetapi dengan tawaran istimewa yang kami sediakan, kami berharap proses untuk memiliki rumah akan menjadi lebih mudah dan berpatutan,” tambahnya.

Pemohon yang berjaya akan menikmati subsidi, kadar faedah efektif serendah 4 peratus setahun serta dikecualikan daripada dikenakan yuran pemprosesan dari sekarang hingga akhir Jun nanti. Tawaran ini juga tersedia untuk mereka yang ingin memindahkan pembiayaan pinjaman rumah mereka yang sedia ada kepada Bank Baiduri.

“Pembelian rumah juga memerlukan yuran guaman, jadi sebagai manfaat tambahan, kami juga akan menanggung kos dokumen undang-undang, insurans dan penilaian harta bagi tahun pertama,” kata Pengurus, Pembiayaan Pengguna, Winnie Ang.