Promosi kerjasama bangun kapasiti penguatkuasaan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam (CCBD) dan Suruhanjaya Persaingan Indonesia (ICC) pada hujung Februari lalu, telah mengukuhkan kerjasama dalam membangunkan kapasiti penguatkuasaan melalui program penempatan pakar ICC di CCBD selama dua minggu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan CCBD, di sini, program penempatan berkenaan di-sokong di bawah Programme Japan-ASEAN Integration Fund Phase II (JAIF 2.0) yang bertujuan untuk membantu autoriti-autoriti persaingan di rantau ASEAN untuk melaksanakan dasar dan perundangan persaingan secara efektif dan bagi mempromosi kerjasama yang lebih kukuh dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN.

Kenyataan menyatakan, Penasihat Undang-Undang Kanan di ICC, Mohammad Reza telah ditempatkan di CCBD bagi membantu Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna selaku Sekretariat Eksekutif kepada CCBD dalam meningkatkan kapasiti mengenai kaedah penyiasatan dan penguatkuasaan perundangan persaingan. Mohammad Reza mempunyai enam tahun pengalaman mengetuai biro penyiasatan di ICC.

Program penempatan selama dua minggu itu telah memberi manfaat dan pengetahuan dalam kaedah penyiasatan kes dan juga membantu dalam menyusun dan membangunkan manual penyiasatan yang akan menjadi rujukan praktikal dalam melaksanakan siasatan secara teratur dan sistematik. Dalam tempoh penempatannya, tambah kenyataan, Mohammad Reza telah mengetuai tiga bengkel bertajuk ‘Mengesan dan Menghentikan Tipuan Bidaan’ yang dihadiri oleh pegawai-pegawai dari Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan dan Kementerian Pendidikan.

Beliau telah memberi input mengenai proses dan prosedur perolehan yang cekap dan kompetitif, dengan mengambil contoh daripada pengalaman Indonesia. Mohammad Reza juga turut serta dalam Sesi Dialog Persaingan bertajuk ‘Peranan Perintah Persaingan di dalam Pertumbuhan Ekonomi’ yang telah diadakan di Universiti Brunei Darussalam pada akhir Februari.

Kenyataan menambah, pertukaran pengalaman dan perbincangan antara pakar dari ICC dan CCBD amat dihargai dalam usaha bagi mempromosi perkongsian dan pembelajaran di antara kedua buah negara, dan seterusnya memupuk hubungan institusi kedua agensi terlibat bagi membina kerjasama melaksanakan perundangan persaingan pada masa akan datang. Pada hari terakhir Mohammad Reza berada di Negara Brunei Darussalam, Penolong Peguamcara Negara di Pejabat Peguam Negara, Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohd Taib selaku ahli CCBD telah menyampaikan tanda penghargaan.

CCBD dalam kenyataannya merakamkan ucapan terima kasih kepada ICC atas sokongan dan bantuan yang dihulurkan kepada pembangunan rejim persaingan Brunei Darussalam. ICC ditubuhkan pada tahun 2000 dengan mandat untuk menguatkuasakan perundangan persaingan di Indonesia bertujuan bagi menjaga kepentingan awam dan membina iklim perniagaan yang kondusif melalui persaingan yang adil dalam kalangan peniaga.

Mohammad Reza ketika memberi keterangan semasa program tersebut. – Gambar serahan CCBD