Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Promosi kerjasama kesihatan mental Australia, Brunei

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Dalam usaha mempromosikan kerjasama kesihatan mental antara Australia dan Brunei, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Kesihatan Mental Kebangsaan Australia, Christine Morgan, hari ini, telah mengadakan lawatan ke Unit Kesihatan Mental, Kementerian Kesihatan sebagai salah satu agenda lawatan di negara ini.

    Turut menyertai lawatan berkenaan ialah Pegawai Kanan, Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia, Simon Fellows dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Luke Arnold.

    Semasa lawatan, rombongan berpeluang menyaksikan kemudahan yang disediakan bagi keperluan unit berkenaan sebelum meneruskan sesi lawatan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bagi meninjau bilik operator talian bantuan Talian Harapan (TH145). Mereka juga menyertai sesi dialog bersama pakar kesihatan mental tanah air yang terdiri daripada Ketua Perkhidmatan Psikiatri, Dr Hilda Ho; Ketua Matron Kejururawatan Psikiatri, Hajah Radiah Omar; dan kakitangan-kakitangan yang bertugas dalam kejururawatan psikiatri, kerja sosial perubatan dan terapi pekerjaan.

    Menurut kenyataan dari Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam, Christine Morgan berkata lawatan berkenaan telah memberi peluang untuk lebih memahami, berbincang dan menjawab sebarang persoalan bagi keperluan kesihatan mental dan kesejahteraan rakyat antara kedua-dua buah negara.

    Sehubungan itu, Dr Hilda Ho turut menyatakan bahawa kesedaran kesihatan mental telah berkembang di Negara Brunei Darussalam sejak sedekad lalu, berkat usaha Kementerian Kesihatan, agensi kerajaan, kumpulan masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan yang telah berusaha untuk meningkatkan pendidikan kesihatan mental, akses kepada sokongan dan pembangunan perkhidmatan.

    “Ia adalah bidang yang berkembang di Brunei dan kami berminat untuk mempelajari amalan terbaik dari negara lain. Brunei terutamanya mengalu-alukan tawaran dari agensi Australia untuk membantu ketika kami membangunkan model dan perkhidmatan terbaik bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti di negara ini ,” tambah Dr Ho. Sementara itu, Tuan Yang Terutama Luke Arnold turut berkongsi bahawa lawatan berkenaan itu adalah berdasarkan jalinan kerjasama kesihatan mental yang sangat baik yang telah diwujudkan antara dua buah negara semasa tahun kepengerusian ASEAN Brunei pada tahun lepas di samping berkat sokongan teguh daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua selama ini.

    Kenyataan menambah Christine Morgan turut menyertai Taklimat Pegawai Kanan Brunei dan Australia yang buat julung kali diadakan, baru-baru ini, dengan dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Pengiran Norhashimah binti Pengiran Mohamad Hassan dan mewakili pihak Australia ialah Simon Fellows, di mana taklimat bertujuan bagi meneroka pelbagai pilihan untuk meningkatkan kerjasama dua buah negara termasuklah dalam bidang kesihatan mental ini.

    Christine Morgan dan TYT Luke Arnold bergambar ramai semasa lawatan ke Unit Kesihatan Mental, Kementerian Kesihatan dan Hospital RIPAS baru-baru ini. – Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...