Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Promosi kesihatan di sekolah elak NCD

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan HPC

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak terutamanya remaja banyak terdedah kepada faktor risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) yang akan memberi impak kepada kesihatan mereka apabila meningkat dewasa seperti penyakit kardiovaskular, kanser, penyakit pernafasan kronik dan diabetes.

    Empat faktor risiko penyakit tidak berjangkit yang dikenal pasti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja adalah pemakanan tidak seimbang, penggunaan tembakau, penggunaan alkohol dan kurang melakukan kegiatan fizikal.

    Sehubungan itu, dalam usaha untuk memperkenalkan konsep Sekolah Mempromosi Kesihatan, seramai 61 orang guru dari 35 buah sekolah swasta telah menyertai Bengkel Inisiatif Sekolah Mempromosi Kesihatan bagi Sekolah Swasta Rendah dan Menengah bagi Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Belait yang berlangsung selama dua hari hingga hari ini di Pusat Promosi Kesihatan (HPC).

    Bengkel anjuran HPC, Kementerian Kesihatan itu bermatlamat untuk memperkenalkan konsep Sekolah Mempromosi Kesihatan, memberigakan hasil kaji selidik Global School-based Students Health Survey (GSHS) 2019, Global Youth Tobacco Survey (GYTS) 2019 dan Health Promoting School Survey 2016 serta mengongsikan maklumat dan rancangan mengenai pelaksanaan program rintis Sekolah Mempromosi Kesihatan di Negara Brunei Darussalam.

    Bengkel juga memberikan peluang kepada para peserta untuk membincangkan dasar yang berkaitan dengan kesihatan yang sedia ada dan aktiviti promosi kesihatan yang dilaksanakan pada masa kini di sekolah serta merangka pelan tindakan Sekolah Mempromosi Kesihatan yang bersesuaian bagi pelajar dan seterusnya menyahut dan menyokong pencapaian matlamat utama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu menjadikan setiap sekolah sebuah sekolah mempromosi kesihatan.

    Antara peserta bengkel yang menyertai inisiatif Sekolah Mempromosikan Kesihatan di HPC, kelmarin.
    Para peserta bergambar ramai semasa bengkel yang berlangsung di Pusat Promosi Kesihatan (HPC) bermula 30 Januari hingga 31 Januari.

    Menerusi bengkel itu, para peserta berpeluang untuk sama-sama berbincang secara interaktif dan berkongsi buah fikiran serta pengalaman masing-masing untuk meningkatkan keberkesanan model Sekolah Mempromosi Kesihatan sekali gus dapat diserapkan ke semua sekolah di negara ini.

    Hasil dapatan GSHS 2019, dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun, ia menunjukkan bahawa satu daripada dua remaja mempunyai berat badan berlebihan atau obes di mana kadar obesiti dalam kalangan pelajar sekolah menengah adalah kira-kira 20 peratus.

    Pemantauan secara rutin mengenai status obesiti dalam kalangan kanak-kanak berumur enam hingga 13 tahun menunjukkan trend yang sangat membimbangkan sejak 2009, di mana kadar berkenaan naik satu mata setiap tahun.

    Dapatan itu tidak mengejutkan, memandangkan hanya 11.5 peratus memenuhi tahap aktiviti fizikal yang disyorkan dan sebanyak 33.6 peratus meminum satu atau lebih minuman tin iaitu yang mempunyai kadar gula yang tinggi, setiap hari.

    Bagi membantu mengurangkan kadar berkenaan, WHO telah pun memperkenalkan konsep Sekolah Mempromosi Kesihatan yang menggunakan kaedah pendekatan seluruh sekolah untuk mempromosikan pencapaian kesihatan dan pendidikan untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

    Pendekatan itu terbukti menunjukkan kesan yang positif terhadap kesihatan termasuk peningkatan dalam melakukan aktiviti fizikal, pengambilan makanan seimbang, mengurangkan keganasan di sekolah dan penyalahgunaan bahan terlarang.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...