BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Seramai 19 orang warga emas telah mengikuti Latihan Kemahiran Digital anjuran Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) selama tiga hari berakhir kelmarin dengan majlis penyampaian hadiah.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan sijil kepada peserta latihan di Dewan Sumber Media, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Belait itu ialah Ketua Cawangan Jabatan Pembangunan Masyarakat, Daerah Belait, Dayang Rafidah binti Hidup.
Menurut kenyataan daripada AITI, program latihan yang bermatlamat untuk mempromosikan e-perdagangan dan literasi digital dalam kalangan warna emas itu disertai oleh warga emas dari Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Belait dan Pusat Masyarakat Bestari (PMB).
Ia dijalankan dengan kerjasama daripada sektor kerajaan dan swasta dengan pembentangan dan demonstrasi praktikal dijalankan oleh para pelatih dan pemudah cara dari Jabatan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, IT Protective Security Services Sdn Bhd (ITPSS) serta perwakilan dari syarikat-syarikat e-perdagangan tempatan seperti Naindah.com, Rotuku.com dan Kedairuncit.com.
Program yang diketengahkan meliputi pelbagai topik termasuk kemahiran ICT asas, keselamatan dan sekuriti dalam talian, pengenalan kepada e-perdagangan dan peluang-peluangnya, aplikasi-aplikasi mudah alih berguna, membeli-belah dalam talian serta tip-tip keselamatan siber.
Kenyataan menyatakan, program latihan bagi warga emas berkenaan pertama kali diperkenalkan pada Oktober 2019 di PKWE Daerah Brunei dan Muara. Sehingga kini, lebih 90 orang warga emas telah menyertai program tersebut dan AITI juga merancang mengadakan program berkenaan di PKWE Temburong.
Dengan ulasan yang menggalakkan daripada para peserta mengenai program berkenaan, AITI berharap ia akan terus memberikan kesedaran kepada warna emas mengenai kepentingan memahami ICT dan menggunakan e-perdagangan dalam memudahkan lagi kehidupan harian mereka.






























