Promosi PKS LiveWIRE buka tirai

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Dis – Promosi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) LiveWIRE Brunei ke-8 petang tadi telahpun membuka tirainya yang berlangsung di Stadium Tertutup Berakas, hari ini.

Hadir bagi menyempurnakan perasmian majlis itu ialah Pengerusi LiveWIRE Brunei dan Projek Pengurusan Rantaian Bekalan Syarikat Minyak Brunei Shell, Hajah Rosita binti Haji Hassan.

Turut hadir di majlis itu ialah Pengarah Program LiveWIRE Brunei, Pengiran Redzuan bin Pengiran Haji Abbas, selaku Pengerusi bersama Promosi PKS serta jemputan-jemputan khas yang lain.

Pengiran Redzuan semasa ditemui berharap agar Promosi PKS LiveWIRE Brunei ke-8 akan dapat memberikan pendedahan kepada para pengusaha-pengusaha tempatan mengenai dengan pemasaran di negara ini serta cabaran-cabaran yang bakal dihadapi di bidang tersebut.

Promosi PKS LiveWIRE ini juga memberikan peluang-peluang untuk pengusaha-pengusaha yang baru berkecimpung dalam bidang keusahawanan untuk mendekati pengusaha-pengusaha yang mempunyai pengalaman sepanjang pameran tiga hari ini agar mereka dapat merasakan sendiri pengalaman berniaga dengan adanya persaingan daripada peniaga-peniaga lain.

Pengerusi LiveWIRE Brunei dan Projek Pengurusan Rantaian Bekalan Syarikat Minyak Brunei Shell semasa merasmikan Promosi PKS LiveWIRE Brunei ke-8 petang tadi.
Hajah Rosita semasa menyaksikan pameran jualan.

Pelbagai produk-produk yang ditawarkan oleh para peniaga.

Menurutnya lagi, dengan adanya persaingan yang sihat ini, ianya akan dapat memberikan sedikit sebanyak pengalaman dan cara-cara untuk mengatasi pelbagai cabaran dalam bidang tersebut dan para pengusaha juga diseru untuk tidak bersikap putus asa dan sentiasa bersemangat dalam meningkatkan lagi perniagaan masing-masing.

Beliau berharap pengusaha-pengusaha tempatan ini khususnya bagi pengusaha-pengusaha muda dan baru akan berjaya di samping memperluaskan lagi perniagaan mereka bukan sahaja di negara ini malah di negara-negara yang lain dalam sama-sama meningkatkan lagi ekonomi negara.

Promosi PKS LiveWIRE Brunei ke-8 ini menampilkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh para usahawan PKS tempatan termasuk usahawan muda dengan mengetengahkan pelbagai produk.

Promosi PKS yang merupakan kerjasama LiveWIRE Brunei, Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telahpun disertai oleh kira-kira 120 usahawan tempatan yang mengetengahkan produk dan perkhidmatan tempatan termasuk pengusaha muda tempatan, agensi-agensi kerajaan serta syarikat-syarikat tempatan seperti Maju Motors, TCY Motors, NBT Sdn Bhd dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

Di samping pameran produk dan perkhidmatan PKS, acara juga akan diserikan dengan Larian PKS 5km Fun Run, Separa Maraton 21km dan Ekspedisi Berbasikal, Flying Fox, pertunjukan seni mempertahankan diri, pertunjukan kereta, Pertandingan Makan dan Bazar PKS yang akan menyaksikan penyertaan daripada usahawan-usahawan dari keempat-empat daerah.

Pameran ini dibukakan kepada kunjungan orang ramai yang bermula pada jam 9 pagi hingga 10 malam selama tiga hari bermula hari ini sehingga 3 Disember nanti.

LiveWIRE merupakan organisasi yang ditaja sepenuhnya oleh Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd dengan matlamat untuk menyumbang kepada meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti Brunei mengenai perlunya mempelbagaikan ekonomi negara menerusi penyertaan mereka dalam kegiatan-kegiatan perniagaan.