Promosi produk budaya, warisan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – React Co dan Eco Ponies Garden telah bekerjasama menganjurkan acara pasar tani dinamakan Re/Think Food di Eco Ponies Garden, Tutong, yang berlangsung dua hari hingga hari ini.

Menurut kenyataan yang diberikan, ini merupakan edisi ketiga acara berkenaan yang diadakan bersempena Minggu Gastronomi Brunei 2020 dan Hari Wanita Antarabangsa.

Pelancaran acara jualan berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong.

Pada majlis itu, Eco Ponies Garden selaku peserta Minggu Gastronomi Brunei 2020 telah mengetengahkan menu Minggu Gastronomi mereka.

Satu demonstrasi masakan juga telah dikendalikan oleh Persatuan Cef-cef Indonesia (ICA) dan Bidasari yang menunjukkan penyediaan kulinari menggunakan sumber-sumber dari hutan dan taman komuniti.

Acara dua hari itu juga dimeriahkan dengan taklimat-taklimat dan bengkel yang membincangkan mengenai tema kemapanan, pembangunan komuniti serta melindungi budaya dan warisan.

Para peserta acara jualan berkenaan terdiri daripada masyarakat dari Daerah Tutong dan Daerah Belait yang termasuk Que homebakemacaroon, Labi coffee, Lamin Warisan, Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lamunin, MPK Melilas, MPK Bukit, Pangkalan Waris, Bidasari Hideout Community, Nilam Sari Hands On, Muiz Cornerliciouz, Mamat’s Corner dan Creativate.

Pengasas Bersama React Co, Dayang Nazurah binti Salleh berkata, tujuan acara jualan berkenaan adalah untuk menggalakkan lebih banyak komuniti dan perniagaan kecil dalam negara untuk mengusahakan ladang dan meningkatkan kesedaran mengenai produk budaya dan warisan kepada penduduk tempatan dan warga asing.

Acara berkenaan turut disokong oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali meninjau gerai jualan yang ikut serta dalam acara berkenaan. – Gambar serahan React Co