Promosi Shell V-Power: Cabutan awal hari ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) akan mengadakan Cabutan Preliminari Promosi Shell V-Power secara langsung melalui akaun rasmi Instagram dan Facebooknya esok, 17 Julai, pada pukul 8 malam.

Penonton akan berpeluang untuk menyaksikan calon yang akan disenarai pendek bagi Cabutan Utama yang dijadualkan diadakan pada 25 Julai kelak.

Menurut kenyataan dikeluarkan BSM di sini hari ini, promosi Shell V-Powers diadakan dari 16 Februari sehingga 30 Jun lalu, sempena pelancaran dan ketersediaan minyak gasolin dan diesel Shell V-Power di stesen minyak terpilih di negara ini.

Dengan setiap pembelian salah satu daripada jenis minyak Shell V-Power tersebut, pelanggan layak untuk menyertai satu entri cabutan bertuah. Cabutan utama juga akan disiarkan secara langsung di akaun Instagram dan Facebook rasmi BSM yang mana pemenang utamanya kelak akan memenangi kereta mewah Porsche Macan S.