Promoter timbang pindah pertarungan Joshua

LONDON, 7 MEI – Promoter Anthony Joshua berkata pertarungan untuk mempertahankan kejuaraan petinju juara dunia itu tidak akan diadakan tanpa kehadiran peminat meskipun ketika krisis koronavirus.

Eddie Hearn mempertimbangkan memindahkan pertarungan Joshua seterusnya menentang Kubrat Pulev, yang pada asalnya dijadualkan diadakan di Stadium Tottenham Hotspur pada 20 Jun.

Pertarungan di London telah ditunda disebabkan oleh pandemik dan Hearn mungkin berminat untuk memindahkannya ke Timur Tengah jika penonton dibenarkan untuk menyaksikan pertarungan itu.

Joshua menewaskan Andy Ruiz untuk meraih kejuaraan heavyweight WBA, IBF, WBO dan IBO di Arab Saudi pada bulan Disember lalu.

Hearn sudah mencadangkan dia akan mengadakan pertarungan di antara Dillian Whyte dan Alexander Povetkin dalam pertarungan tanpa peminat, tetapi implikasi kewangan untuk melakukan perkara yang sama dengan Joshua mungkin tidak akan berhasil.

Eddie Hearn mempertimbangkan memindahkan pertarungan Joshua seterusnya menentang Kubrat Pulev dengan kehadiran peminat. – AP

“Kami tidak akan pergi kepada AJ (Anthony Joshua) dan berkata, ini ada wang terkumpul 10 juta pound – kami terpaksa menjadi kreatif,” Hearn memberitahu Boxing Social kelmarin.

“Negara-negara itu akan kembali pulih seperti biasa dengan lebih cepat berbanding dengan negara kami atau Amerika Syarikat.

“Adakah Arab Saudi atau Dubai atau Abu Dhabi akan bersedia untuk mengadakan pertarungan pada bulan September atau Oktober? Saya 100 peratus berfikir, ya.

“Jika anda tidak membenarkan peminat menyaksikan pertarungan besar kami terpaksa mencari tempat dan wilayah lain.

“Adakah anda rasa AJ mahu bertarung tanpa kehadiran peminat? Tidak. Dengan apa yang dia boleh berikan dari segi kehadiran peminat secara langsung, saya akan melakukan segala-galanya yang saya mampu untuk memastikan pertarungan AJ tidak akan berlaku tanpa kehadiran peminat.”

Badan Kawalan Tinju British telah mengeluarkan siri peraturan bagi masa depan sukan domestik untuk kembali pada bulan Julai, termasuk mengadakan pertarungan tanpa peminat, dan jurulatih dan pegawai dimestikan memakai penutup mulut dan hidung. – AFP