Prosedur melawat masih ketat

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Dalam usaha untuk terus berwaspada mengawal jangkitan COVID terutama menjaga kesejahteraan pesakit dan pekerja, Kementerian Kesihatan masih belum membukakan sebarang kunjungan pelawat ke hospital-hospital di negara ini.

Perkara berkenaan dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar bagi mengulas kelonggaran orang ramai untuk membuat lawatan ke hospital semasa sidang media, hari ini.

“Apa yang perlu kita fikirkan bagi mana-mana hospital sememangnya bukan hanya penjagaan mereka yang berada dalam keadaan kurang sihat tetapi sebahagiannya juga bagi merawat pesakit positif COVID.

“Dalam keadaan negara yang masih belum semua dapat membuka kelonggaran sepenuhnya seperti sekolah, bekerja dari pejabat dan sebagainya maka perkara-perkara seperti ini masih perlu dipantau terlebih dahulu sebelum membuka kebenaran orang ramai mengadakan lawatan ke hospital-hospital,” tegasnya.

Beliau turut menambah, bukan mudah untuk pihak kementerian membuka kebenaran kelonggaran pelawat kerana apabila diimbas situasi awal gelombang ketiga terdapat pelawat yang positif dan menjangkiti pesakit dan kakitangan hospital.

“Perkara ini juga begitu membimbangkan memandangkan golongan pesakit merupakan mereka yang memiliki tahap imuniti yang rendah dan berisiko mendapatkan gejala-gejala yang lebih teruk,” jelas beliau.