Sunday, March 23, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Prosedur tangani COVID-19 di tempat kerja

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya hari ini menasihatkan agar mereka yang mendapati rakan atau kakitangan di tempat kerja mereka disahkan dijangkiti COVID-19 melalui sumber lain, hendaklah menghubungi talian 148 dan nyatakan butiran maklumat orang perhubungan (focal point) untuk kementerian tersebut hubungi bagi tindakan susulan.

    Pegawai bertugas dari Kementerian Kesihatan kemudian akan memberitahu kepada ketua jabatan di tempat kerja mengenai kes yang disahkan positif COVID-19 tersebut. Sehubungan dengan itu, pengetua, majikan atau penghuni perlulah melantik seorang pegawai kanan untuk menjadi sebagai focal point antara Kementerian Kesihatan dan di tempat kerja tersebut.

    Focal point yang dilantik perlu mengenal pasti semua kakitangan yang mempunyai kontak rapat dengan kes yang disahkan positif COVID-19 tersebut dari tarikh dan masa kes berkenaan menjadi gejala. Ini termasuklah semua kakitangan yang berkongsi ruang pejabat dan kawasan jika ia sebuah pejabat terbuka, rakan sekerja yang rapat, kakitangan yang berkongsi bilik mesyuarat dan kakitangan yang berada di ruangan tertutup bersama kes COVID-19 dalam masa lebih dari 30 minit. Dalam hal tersebut, kesemua kakitangan mestilah diarah pulang dan mengasingkan diri mereka serta menantikan arahan selanjutnya.

    Focal point di tempat tersebut juga perlu mengumpulkan semua kontak rapat bersama maklumat lanjut seperti senarai nama, nombor telefon serta kad pengenalan mereka untuk diserahkan kepada pegawai bertugas di Kementerian Kesihatan sebelum menantikan langkah selanjutnya yang mungkin termasuk kuarantin atau diarahkan untuk menjalani ujian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda