‘Prosedur tangani kes pewaris Red Bull tidak telus’

BANGKOK, 1 SEPT – Kes terhadap pewaris Red Bull yang didakwa dalam insiden langgar lari sehingga menyebabkan kematian ‘sudah dirancang’ dari awal sehingga akhir, kata pejabat perdana menteri hari ini, dengan mengganggap keseluruhan prosedur adalah tidak telus.

Pengumuman itu dibuat sebulan setelah tuduhan terhadap Vorayuth ‘Boss’ Yoovidhya, telah digugurkan oleh pihak polis dan pejabat pendakwa raya mencetuskan kemarahan penduduk Thailand. Kontroversi kes tersebut juga muncul semasa tempoh kerajaan dibebani dengan pergerakan protes pro-demokrasi yang melakukan perhimpunan hampir setiap hari di seluruh negara.

Vorayuth dituduh menyebabkan kematian seorang pegawai polis pada 2012 selepas Ferrari miliknya terlibat dalam satu insiden kemalangan di Bangkok, dan ketika itu dia dipercayai berada dalam pengaruh dadah.

Dia melarikan diri dari negara itu dengan jet peribadinya pada tahun 2017, tetapi kepulangannya sangat diharapkan setelah pihak berkuasa mendedahkan pada bulan Julai bahawa semua tuduhan terhadapnya telah digugurkan.

Tetapi protes orang ramai – termasuk ratusan ribu orang yang menggunakan hashtag #BoycottRedBull di media sosial – mendorong tiga siasatan baharu dibuka semula. – AFP

Gambar daripada rakaman video pada 3 September 2012 menunjukkan polis sedang memeriksa kereta Ferrari milik Vorayuth di Bangkok selepas terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kematian seorang anggota polis. – AFP