Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Peruntukan untuk Bahagian Pemakanan dan Barangan Halal ditingkatkan bagi memantapkan lagi proses permohonan secara online yang bertujuan untuk memberi keselesaan dan kesenangan kepada pemohon, kata Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Menurutnya, peruntukan berkenaan meningkat sebanyak hampir $700,000 bertujuan meningkatkan kapasiti terutama sekali dalam operasi dan pengurusan hal ehwal sijil halal dan label halal yang dijangka akan lebih rancak terutama ekoran penguatkuasaan pindaan udang-undang yang mengehendaki syarikat-syarikat ataupun pengeluar barangan makanan di negara ini memohon sijil dan label halal.
“Namun untuk mengadakan kemudahan atau khidmat permohonan persijilan halal secara online, ia memerlukan peruntukan yang lebih besar daripada yang ada.
“Kerana itu, pihak kementerian memasukkan ia dalam senarai yang akan dipohonkan kepada jawatankuasa Rancangan Kemajuan Negara (RKN) untuk memasukkan ke dalam Rancangan RKN ke-11 yang akan datang,” jelas Yang Berhormat Pehin sebagai menjawab persoalan Yang Berhormat Dayang Hafimi binti Abdul Haadii pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara kelmarin.

Beliau berkata, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) sedang membangunkan sistem laman sesawang bagi Bahagian Kawalan Makanan Halal, KHEU yang mana dijangka akan dapat meningkatkan permohonan-permohonan di bawah Perintah Sijil dan Label Halal 2015 (Pindaan 2017) dan Akta Daging Halal/183, sehingga 50 peratus.
Menurut Yang Berhormat Pehin, semua pihak berkuasa, agensi-agensi yang terlibat di bawah perintah dan akta berkenaan iaitu Majlis Ugama Islam, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Kesihatan, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dan juga Bahagian Pembangunan Industri Halal Global akan termasuk dalam rangkaian pemprosesan permohonan secara online, sekali gus meningkatkan kecekapannya.
“Dengan sistem ini juga, ia akan mempercepatkan tempoh memproses permohonan sehingga 30 peratus daripada yang ada sekarang,” tambah Yang Berhormat Pehin.