Proses memperbaiki hubungan

“SAYA dan Nabila sedang dalam proses pulih.” Itu reaksi pelakon, Sharnaaz Ahmad mengenai hubungannya dengan isteri, Noor Nabila Mohd Noor yang dikatakan bermasalah, sejak Februari lalu.

Sharnaaz mengaku mereka bersepakat memulihkan perhubungan demi anak, Jebat Jayden Ahmad, lapan bulan.

“Jebat adalah segala-galanya bagi saya. Apa yang berlaku ketika ini, kami sedang melalui proses pemulihan akhlak. Kami mahu membetulkan diri menjadi suami isteri yang lebih baik demi Jebat,” katanya ditemui di majlis berbuka puasa dan sumbangan duit raya Megapine (M) Sdn Bhd di sebuah hotel baru-baru ini.

Tambah pelakon filem Sindiket itu, perhubungan mereka lebih akrab apabila Jebat mengalami jangkitan saluran kencing (UTI) dan sedang dirawat. “Mungkin apa yang terjadi pada Jebat sehingga kami kembali memulihkan keadaan adalah kerana aturan Allah. Apa-apapun, saya reda dan terima dengan ketentuan Allah. Tetapi saya tidak tahu apa kesudahan kami,” katanya.

Sharnaaz berharap proses pemulihan antaranya dengan isteri tidak diganggu campur tangan pihak luar. “Apa yang terjadi, kami cuba selesaikan sebagai satu entiti keluarga. Cuma saya berharap tiada campur tangan luar yang boleh mengeruhkan lagi keadaan. Ini kerana kami cuba memperbaiki diri untuk menggalas peranan masing-masing,” katanya.

Sebelum ini, beberapa perkongsian status Sharnaaz dalam media sosial mengundang spekulasi netizen konon dia berhadapan masalah rumah tangga. Perkara itu membuatkan rata-rata peminat mendoakan perhubungannya dengan kakak kepada selebriti Neelofa itu baik.

Sebelum ini, Shaarnaz mahu pun Nabila memilih untuk mengunci mulut mengenai gosip berterbangan membabitkan rumah tangga mereka. Sharnaaz dan Nabila, 35, bernikah pada 31 Mac 2017. Mereka dikurniakan Jebat pada 30 Ogos tahun lalu. – Agensi

Sharnaaz berharap proses pemulihan antaranya dengan isteri tidak diganggu campur tangan pihak luar. – Agensi