Proses pembukaan akaun BIBD bagi penerima pencen

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Selaras dengan inisiatif Kementerian Kewangan dan Ekonomi bagi pembayaran Pencen Perkhidmatan dan Pencen Turunan melalui akaun bank mulai April 2020, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) menjelaskan langkah-langkah untuk membuka akaun di BIBD.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan BIBD, hari ini, borang pembukaan akaun boleh dimuat turun melalui http://www.bibd.com.bn/resource-centre/forms/.

Pembuka akaun digalakkan untuk mengisi borang terlebih dahulu untuk mempercepat proses pembukaan akaun, walau bagaimanapun, penandatanganan borang mestilah disaksikan oleh pegawai BIBD.

Pembuka akaun juga dikehendaki membawa dokumen pengenalan asal seperti kad pengenalan atau pasport. Penerima Pencen Turunan yang masih bekerja pula dikehendaki untuk membawa slip gaji terkini.

BIBD memaklumkan bahawa deposit pembukaan akaun tidak diperlukan, akan tetapi baki akaun minimum sebanyak $50 mesti dikekalkan dalam akaun dan tidak dapat dikeluarkan.

Sehubungan itu, mana-mana penerima Pencen Perkhidmatan dan Pencen Turunan yang sudah membuka akaun dengan BIBD tidak perlu mengunjungi cawangan-cawangan BIBD bagi memohon dokumen-dokumen pengesahan seperti penyata bank.

Sebagai langkah berjaga-jaga, BIBD memohon kerjasama para penerima untuk tidak datang secara berkumpulan dan seterusnya bersurai selepas urusan selesai.