Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei – Proses pemindahan kenderaan terbiar telah bermula semalam dengan dua buah kenderaan yang dikenal pasti di kawasan bengkel di Menglait telah dipindahkan ke tempat penaruhan sementara di bawah kawal selia syarikat pelupusan yang dilantik sebelum proses seterusnya dijalankan.
Projek pemindahan kenderaan terbiar di seluruh negara itu melibatkan beberapa agensi termasuk Jabatan Bandaran dan Pejabat Daerah di seluruh negara, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Pengangkutan Darat sebagai agensi penyelaras dan sekretariat jawatankuasa kempen, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi serta syarikat kewangan dan syarikat pelupusan yang berkaitan.
Proses berkenaan dilaksanakan susulan surat amaran yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dan kenderaan dipindahkan mengikut undang-undang di bawah Seksyen 84 Penggal 68 Akta Lalu Lintas Jalan Raya.
Berdasarkan senarai awal, terdapat 24 buah kenderaan terbiar yang sudah lama ditinggalkan di kawasan tersebut.
Hasil lawatan awal jawatankuasa pada 3 Mei lalu, 11 buah kenderaan daripada senarai telah dipindahkan oleh pemilik masing-masing, manakala 13 buah lagi masih terbiar dan akan dialih ke tempat penaruhan sementara sebelum proses selanjutnya diambil.

Kenderaan itu akan disimpan dan sekiranya tidak dituntut dalam masa tiga bulan, ia akan dilupuskan dan pendaftarannya juga akan dibatalkan atau dilelong.
Agensi-agensi kerajaan sebelum ini telah mengeluarkan notis amaran kepada pemilik yang membiarkan kenderaan mereka termasuk pengeluaran kompaun, kepada proses pengalihan mengikut akta dan peraturan lalu lintas jalan raya yang sedia ada.
Kempen ini akan dilaksanakan melalui tiga pendekatan untuk memastikan usaha pembersihan bukan sahaja dipikul oleh pihak kerajaan tetapi merupakan tanggungjawab pemilik kenderaan, bengkel atau kawasan tempat awam dan juga dengan bantuan penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di seluruh negara.
Operasi pemindahan semalam merupakan pendekatan pertama, manakala pendekatan kedua adalah mengeluarkan amaran di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil Penggal 30 Bab 12 (1) f (i) Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan kepada bengkel-bengkel atau pemilik untuk memindahkan kenderaan tersebut dalam tempoh 14 hari.
Jika gagal melakukannya, pemilik kenderaan atau badan-badan lain seperti kedai-kedai atau bengkel akan dikenakan denda $500 bagi setiap kenderaan.
Amaran berkenaan juga diberikan sebagai penekanan berterusan susulan daripada amaran yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran sebelum ini. Amaran juga ditujukan kepada bengkel-bengkel kenderaan atau kawasan tempat awam di seluruh negara.
Syarikat-syarikat yang dilantik telah diberi kebenaran untuk memindahkan kenderaan terbiar yang telah dilaporkan dan dikenal pasti hasil daripada aduan orang ramai.
Syarikat berkenaan juga akan meneruskan kerja-kerja pengalihan sehingga kempen selesai pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk memberi kerjasama supaya kempen berjalan dengan lancar demi menjaga imej negara dan kesejahteraan bersama.
Dalam memastikan kempen ini berjalan dengan lancar dan sebagai pendekatan ketiga, semua penghulu dan ketua kampung di seluruh negara diminta membantu memantau kawasan kampung masing-masing dan meminta penduduk kampung yang meninggalkan kenderaan mereka terbiar di tepi jalan raya atau di tempat awam supaya memindahkan kenderaan mereka dengan segera untuk mengelakkan kesulitan yang bakal dihadapi.
Sekiranya kenderaan itu bukan milik penduduk kampung, penghulu dan ketua kampung bolehlah melaporkannya ke Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) yang juga sekretariat jawatankuasa kempen berkenaan.