Protes di Iraq tuntut lantik perdana menteri baharu

BAGHDAD, 20 DIS – Orang ramai berhimpun di Dataran Tahrir di ibu negara Iraq hari ini kerana membantah kegagalan Presiden Barham Saleh dan Speaker Parlimen Mohamed al-Halbousi untuk melantik perdana menteri yang baharu, lapor agensi berita Anadolu.

Menurut perlembagaan Iraq, parlimen perlu mencadangkan calon perdana menteri melalui rundingan antara parti berikutan peletakan jawatan Adil Abdul-Mahdi. Andai rundingan gagal Presiden Barham Saleh mempunyai kuasa melantik sendiri calon yang dirasakan sesuai. Namun, jika parlimen tidak meluluskan pilihan Presiden dan jawatan itu masih kosong sehingga tengah malam Khamis, perlembagaan memberikan kuasa kepada Saleh selama 15 hari.

Iraq dilanda protes besar-besaran sejak awal Oktober yang menyaksikan rakyat mendesak Perdana Menteri Adil Abdul-Mahdi meletak jawatan. – Bernama

Seorang penunjuk perasaan duduk di mural Dataran Tahrir semasa demonstrasi di Baghdad, Iraq. – AP