Protes memperingati pembunuhan wartawan

CULIACAN, Mexico, 15 Mei – Mexico memperingati satu tahun insiden pembunuhan wartawan terkenal Javier Valdez hari ini dengan protes dan menyatakan pembunuh itu mesti dihukum seperti yang lain.

Valdez, pengasas bersama akhbar Riodoce dan penyumbang kepada Agence France-Presse (AFP), ditembak mati di siang hari berhampiran pejabat akhbarnya pada 15 Mei 2017 di Culiacan, ibu kota Sinaloa.

Pembunuhan itu menerima kecaman hebat antarabangsa.

Wartawan berusia 50 tahun itu adalah salah seorang penulis yang terkenal mengenai perang dadah Mexico di sebuah negara di mana Joaquin ‘El Chapo’ Guzman, yang kini dipenjarakan di Amerika Syarikat (AS), pernah berkuasa di sana. Para penunjuk perasaan memperingati ulang tahun pertama kematiannya dalam beberapa negeri, terutama sekali di Culiacan, menggesa pihak berkuasa untuk menjatuhkan hukuman kepada mereka yang bertanggungjawab dan memberhentikan keganasan terhadap wartawan di Mexico.

“Penghormatan ini, peristiwa-peristiwa ini, hari ini protes adalah tentang mengingatkan orang bahawa pembunuhan ini berlaku, bahawa ia tidak boleh terlepas tanpa hukuman, harus ada keadilan,” kata rakan lama Valdez dan pengasas bersama Riodoce, Ismael Bojorquez.

Satu tulisan yang tertera perkataan Bahasa Sepanyol yang bermaksud ‘140 wartawan yang terkorban di Mexico’ dilihat di Tijuana, Negeri Baja California, Mexico pada 14 Mei 2015 bagi memperingati wartawan yang telah terkorban di negara itu. – AFP

“Biarlah ia menjadi satu mesej kepada mereka yang memerintahkan jenayah itu supaya mereka dapat dihukum,” kata Bojorquez, editor semasa kepada AFP.

Valdes adalah antara sekurang-kurangnya 11 wartawan yang dibunuh di Mexico tahun lalu. Kejadian itu menjadikannya sebagai negara yang paling bahaya di dunia untuk media selepas Syria, menurut kumpulan pemerhati Reporters Without Borders.

Sejak tahun 2000, lebih daripada 100 wartawan telah dibunuh di seluruh negara. Lebih daripada 90 peratus jenayah yang berlaku di Mexico, pelakunya tidak dijatuhkan hukuman.

Disebabkan keganasan kejam yang dikaitkan dengan perdagangan narkotik berbilion dolar, negara itu mencatatkan bilangan pembunuhan yang terbanyak tahun lepas dengan 25,339 orang. – AFP