ISLAMABAD, 1 NOV – Ribuan pembantah Islam berkumpul di Islamabad hari ini tatkala beberapa perarakan besar dari seluruh Pakistan bertumpu di ibu negara untuk menuntut kerajaan Perdana Menteri Imran Khan letak jawatan.
Anggota keselamatan menyekat tempat masuk utama dengan kontena kapal namun pembantah berduyun-duyun masuk ke bandar, duduk di dataran dan tempat terbuka ketika mereka menunggu arahan daripada ketua mereka sebelum sembahyang Jumaat hari ini.
‘Perarakan Azadi’ sedang dipimpin oleh pesaing lama Khan, Maulana Fazlur Rehman, yang mengetuai Jamiat Ulema-e-Islam (JUI-F), salah satu parti Islam terbesar dalam negara.
Ia merupakan cabaran pertama kepada pentadbiran Khan tatkala ia bergelut untuk meredakan kemarahan awam berhubung kemelesetan ekonomi dan inflasi. “Kami membantah untuk mengusir pemerintah yang tidak layak, rakyat kami menganggur dan kilang ditutup,” beritahu pembantah Abu Saeed Khan yang berkunjung ke ibu negara dari bandar barat laut Peshawar, kepada AFP.
“Kami perlu menyingkir mereka daripada kuasa,” tambah Anas Khan, seorang lagi pembantah. Bagaimanapun, kumpulan itu masih tidak jelas mengenai taktik yang akan digunakan oleh mereka ketika bantahan atau berapa lama mereka akan tinggal di Islamabad. – AFP
