Protokol dipersetujui

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Bagi memudahkan usaha mengeksport hasil laut ke China, Protokol Pemeriksaan, Kuarantin, Keperluan Kebersihan dan Kesihatan ke atas Hasil Tangkapan Ikan Laut di antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah ditandatangani di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), hari ini.

Menandatangani protokol bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong dan bagi pihak kerajaan China ialah Timbalan Menteri Pentadbiran Am China (GACC), Tuan Yang Terutama Zou Zhiwu.

Turut hadir ialah Duta Besar China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong, Setiausaha Tetap KSSUP, Pengiran Haji Kamalrudzaman bin Pengiran Haji Mohd Ishak, Timbalan Setiausaha Tetap KSSUP, Haji Abdul Halidi bin Haji Mohd Salleh, ketua-ketua jabatan KSSUP, delegasi dari China serta syarikat-syarikat tempatan yang mengeksport ke China dan syarikat-syarikat yang berpotensi untuk mengeksport ke negara berkenaan.

Menurut Jabatan Perikanan, Negara Brunei Darussalam terus menunjukkan perkembangan positif apabila perangkaan Jabatan Perikanan menunjukkan kadar eksport ikan laut telah meningkat sebanyak 1,763 tan metrik bernilai $10.53 juta pada tahun 2018 berbanding 1,209 tan metrik pada tahun 2017, dengan 34 peratus dieksport ke China.

Penandatanganan protokol di antara kedua-dua buah negara itu merupakan satu keperluan sebagai pemudah cara bagi membolehkan hasil tangkapan ikan laut dieksport ke China selain mengukuhkan kerjasama pemeriksaan biosekuriti, kuarantin, keperluan kebersihan dan kesihatan ke atas hasil tangkapan ikan laut yang akan dieksport ke negara berkenaan.

Pada masa yang sama, beberapa buah syarikat pelabur langsung asing dari China juga melabur dan mengadakan usaha sama dengan pelabur tempatan dalam sektor perikanan di negara ini.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali menyampaikan cenderahati kepada TYT Zou Zhiwu selepas majlis menandatangani protokol berkenaan, kelmarin.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali (kiri) dan TYT Zou Zhiwu menandatangani protokol pada majlis yang berlangsung di KSSUP.