Thursday, September 29, 2022
31.9 C
Brunei

Proton berjaya jual 15,880 unit kenderaan pada bulan Ogos

-

KUALA LUMPUR, 2 SEPT – Pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd sekali lagi mencatatkan jualan bulanan terbaiknya dengan 15,880 unit domestik dan eksport pada Ogos lalu berikutan pemulihan pengeluaran yang berterusan.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata ia mencapai jualan bulanan terbaiknya sejak Julai 2013, dengan jarak 109 bulan, dan kekal fokus mengakhiri 2022 dengan pertumbuhan kapasiti jualan untuk tahun keempat berturut-turut.

Bagi lapan bulan pertama tahun ini, Proton berkata ia mencatatkan 87,481 unit berbanding 62,637 unit pada 2021, peningkatan sebanyak 39.7 peratus.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Roslan Abdullah menyatakan bahawa dengan empat bulan lagi menuju 2022, operasi pengeluaran Proton telah stabil.

“Bekalan komponen kami kini lebih konsisten dan terurus demi memastikan kami dapat menghasilkan sebanyak mungkin kereta. Dengan itu, kami telah mengambil inisiatif untuk meningkatkan bilangan trak penghantaran lebih 100 peratus menjelang akhir tahun.

“Ini adalah untuk memastikan pengedar kami menerima stok mereka secepat mungkin dan seterusnya memberi manfaat kepada pelanggan kami yang telah sabar menunggu kenderaan mereka,” katanya.

Proton mengekalkan kedudukan kedua dan mencapai anggaran pegangan pasaran sebanyak 23.7 peratus untuk Ogos manakala pegangan pasaran tahunan meningkat kepada 19.5 peratus. – Bernama

Pengerusi PROTON dan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON semasa Majlis Menandatangani Perjanjian Pengedaran Am antara PROTON dan Smart Automobile Company pada 18 Ogos lalu. – Bernama
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Penjawat awam dilarang luah pendapat di media sosial

COLOMBO, 28 SEPT – Sri Lanka hari ini mengarahkan penjawat awam untuk tidak meluahkan pendapat mereka di media sosial selepas beberapa orang pegawai mendakwa...
- Advertisment -