Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan-pelanggan yang sudah lama menyokong Proton Brunei sejak dahulu lagi, Proton Brunei di bawah Syarikat PAD Motors Sdn Bhd telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di ruang legar Pusat Membeli-belah Times Square, hari ini.
Menurut Pengurus Pemasaran dan Jualan, Proton Brunei, Ibnu Sharul bin Dato Seri Laila Jasa Haji Ismail, selain majlis berkenaan, Proton Brunei juga mengadakan jerayawara Proton bermula 29 Jun hingga 1 Julai yang mana pelbagai jenis model terbaharu Proton seperti Proton Saga, Pesona dan Exora dipamerkan.
“Jika pelanggan membeli kereta Proton, secara automatik akan menerima hadiah terbaik dari Proton Brunei,” tambahnya.
Selain itu, para pelanggan turut dihiburkan dengan kuiz berhadiah serta penampilan pelawak tempatan ‘Si Beracun’.
Proton Saga generasi ketiga kini dilengkapi enjin 1.3 Liter VVT dan digabungkan dengan teknologi bantuan pemanduan ECO yang hanya menggunakan 5.4 liter bahan api untuk setiap 100km perjalanan.


Selain itu, ia juga dilengkapi kamera undur, sensor sekeliling, port USB, ruang kargo seluas 420 liter dan lampu kabus. Model ini dilengkapi beg udara, mendapat pengiktirafan empat bintang ASEAN NCAP, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantuan Hill-Hold, bantuan brek dan ISOFIX.
Manakala Proton Persona pula digerakkan oleh enjin 1.6 Liter 4-silinder VVT dengan teknologi bantuan pemanduan ECO yang hanya memerlukan 5.6 liter bahan api untuk setiap 100km perjalanan.
Model ini turut dilengkapi teknologi moden seperti sambungan Bluetooth, sensor sekeliling, rim aloi 15 inci, tempat duduk kulit, skrin sentuh Proton Infotainment, navigasi GPS, punat kemudahan pada roda stereng dan tempat duduk boleh lipat.
Dari segi keselamatan, Persona yang menerima pengiktirafan lima bintang ASEAN NCAP juga dilengkapi enam beg udara, ESC, ABS dengan EBD, Bantuan Brek (BA), sistem kawalan cengkaman dan bantuan Hill-Hold.

































