Proton catat jualan eksport tertinggi

KUALA LUMPUR, 16 JUN – Proton Holdings Bhd berjaya menyerahkan sejumlah 669 unit kenderaan kepada pengedar luar negara pada Mei 2021, sekali gus mencatat angka jualan eksport tertinggi dalam tempoh 98 bulan sejak Mac 2013.

Dalam kenyataannya pada hari ini, pengeluar kereta itu berkata pada akhir Mei 2021, jumlah jualan setakat tahun ini adalah 174 peratus daripada sasaran ditetapkan serta kurang enam peratus daripada angka keseluruhan 2020.

Proton menyifatkan pertumbuhan itu dipacu oleh permintaan di pasaran tertentu, termasuk pasaran baharu serta sedia ada.

“Pakistan misalnya merupakan pasaran baharu syarikat namun muncul sebagai pasaran eksport terbaik bagi tempoh lima bulan pertama 2021.

“Selain itu, Brunei yang telah menjual kereta Proton sejak 1987 pula di tempat ketiga dari segi jualan tahun ini. Malah pada Mei lepas, pengimport Proton PAD Motors telah mencatat jualan terbaik syarikat sejak penubuhannya,” katanya.

Alpha Ezz El-Arab yang merupakan pengimport dan pengedar di Mesir, juga berjaya menjual sejumlah 350 unit setakat tahun ini dan di tempat kedua bagi pasaran eksport Proton.

Pengarah Jualan Antarabangsa Proton, Steven Xu berkata perancangan bagi 2021 adalah untuk meningkatkan jualan eksport secara agresif.

“Walaupun terdapat kekangan antarabangsa serta peningkatan kos penghantaran akibat COVID-19, kami kekal yakin dapat mencapai sasaran berikutan pelan jualan pengimport selain kelebihan produk-produk yang kami tawarkan.

“Selepas lima bulan, kami hampir menggandakan jumlah jualan berbanding sasaran awal dan berharap ini menjadi petanda kejayaan berterusan untuk tahun ini,” katanya. – Bernama