KUALA LUMPUR, 16 Mei – Proton Saga, yang dikeluarkan oleh Proton Holdings Bhd, dipilih sebagai ‘Sedan Kompak Terbaik” pada majlis “Anugerah Kenderaan Terbaik Tahun Ini” anjuran bersama oleh laman web permotoran, Drive Safe and Fast, dan Allianz General Insurance Company (Malaysia) Bhd.
“Kami amat berbesar hati dan sangat gembira dengan pengiktirafan ini.
“Saga telah mencapai banyak kemajuan sejak pengenalannya pada 1985 kerana banyak penambahbaikan, peningkatan dan penghalusan telah dibuat bagi mengeluarkan Saga baharu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Ahmad Fuaad Kenali dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata generasi ketiga Proton Saga dilancarkan pada 28 Sept 28, 2016 dan mengekalkan imejnya sebagai kereta rakyat dengan menjadi kereta sedan paling mampu milik di negara ini.
Antara pengiktirafan yang terima oleh Proton Saga baharu, sejak pelancarannya tahun lepas ialah anugerah ‘The Rising Star’ oleh ASEAN NCAP (Program Penilaian Kereta Baharu) Anugerah Grand Prix Awards 2016 dan ‘Anugerah Kereta Berbaloi bagi Wang Anda” pada anugerah Malaysia Car of the Year 2016. – Bernama
