Friday, October 11, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Proton tampil lebih berkualiti – Ong

    IPOH, 12 Feb – Kerjasama strategik Proton Holdings Bhd dengan beberapa syarikat pengeluar kereta asing membolehkan syarikat automotif negara itu menghasilkan kereta yang lebih berkualiti selain memperluas pasaran ke peringkat antarabangsa.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata langkah itu sekali gus juga mampu memulihkan prestasi syarikat, selain meraih kembali keyakinan pelanggan.

    “Kerjasama ini juga akan menyokong pembiayaan penyelidikan dan pembangunan Proton kerana kerjasama dengan syarikat yang mempunyai kedudukan kukuh dan stabil, akan menjadikannya lebih kompetitif.

    “Kerjasama itu dijangka terjalin pada pertengahan tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Tea Gaharu Valley di Gopeng dekat sini hari ini.

    Ong berkata Proton kini hanya menumpukan pasaran di peringkat tempatan dan menjual kira-kira 200,000 unit kenderaan, yang merupakan jumlah yang sangat kecil serta tidak memadai.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan pada sidang media majlis Ramah Mesra Tahun Baru Cina 2017 di Tea Gaharu Valley Gopeng Kelmarin. – Bernama
    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan pada sidang media majlis Ramah Mesra Tahun Baru Cina 2017 di Tea Gaharu Valley Gopeng Kelmarin. – Bernama

    Beliau berkata keputusan itu bagaimanapun terletak sepenuhnya kepada Proton yang kini merupakan syarikat milik persendirian dan bukan lagi milik kerajaan.

    “Kerajaan tidak berhasrat untuk mencampuri urus niaganya kerana kita tidak mempunyai sebarang kepentingan… mereka bebas untuk membuat keputusan, namun kita akan terus memberi pandangan kepada Proton,” katanya.

    Dalam pada itu, Ong berkata Proton akan memindahkan kilang pemasarannya dari Shah Alam, Selangor, ke Bandar Proton City di Tanjung Malim, tahun depan.

    Perpindahan ke Tanjung Malim itu bertujuan untuk meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran selain memusatkan pengoperasian kumpulan serta memberi peluang pekerjaan kira-kira 10,000 kepada masyarakat setempat, katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda